Ray sertai Jep dan Rahim ceriakan SINAR
Astro Awani
Ogos 19, 2024 13:00 MYT
Ogos 19, 2024 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penyampai radio popular, Ray masih meneruskan kerjayanya dalam industri penyiaran dengan menyertai keluarga Radio SINAR.
Ray atau nama sebenarnya Shah Reza Mohd Shah akan mengendalikan segmen popular Pagi Di Sinar bersama Jep dan Rahim.
Trio ini dijangka memberi nafas baharu dan memberikan lebih banyak warna kepada segmen pagi yang digemari ramai.
Pengurus Saluran SINAR, Raja Nadia Salwana menyifatkan Ray mempunyai pengalaman luas untuk beraksi dalam bidang penyiaran radio.
“Ray juga mahir dalam selok belok pengendalian segmen pagi radio sewaktu ketika dahulu dilihat mampu membimbing rakan penyampai yang lain.
“Keserasian lebih menjurus kepada Ray selepas beberapa nama yang telah kami senarai pendek ketika proses pemilihan,” jelas beliau kepada Astro AWANI.
Malah, nama Ray juga tidak asing lagi dalam kalangan pendengar Astro Radio yang inginkan informasi terkini dan bersahaja, katanya.
Dengan gabungan unik Jep, Rahim, dan Ray, Pagi Di Sinar akan terus menceriakan pagi para pendengar dengan humor, informasi, dan perbincangan menarik yang pastinya akan memberi impak positif.
Jangan ketinggalan untuk dengarkan Pagi Di Sinar setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi hanya di SINAR.
Ikuti SINAR di media sosial rasmi untuk berita terkini dan kandungan eksklusif.