Ramli Sarip: Usah ambil mudah kerjaya penghibur
Astro Awani
Februari 21, 2013 16:53 MYT
Februari 21, 2013 16:53 MYT
Kelahiran ramai artis baru dan muda menerusi saluran video YouTube dilihat dapat memberikan nafas baru kepada industri seni tanah air.
Namun bagi penyanyi berpengalaman seperti Ramli Sarip, golongan itu tidak seharusnya mengambil jalan mudah kerjaya sebagai penghibur.
Ujian sebenar katanya, sejauh mana mereka mampu memberikan yang terbaik apabila beraksi secara langsung.
“Penyanyi muda harus membuktikan kehebatan mereka di atas pentas,” kata Ramli.
Ramli yang turut terkenal dengan jolokan 'Papa Rock' menambah, penyanyi baru juga perlu memberi tumpuan pada kerjaya dengan mendisiplinkan diri serta mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang kuat.
Menurut Ramli, dengan pertambahan penyanyi baru di dalam persada hiburan tanahair, ia merupakan satu perkara yang positif dan beliau tidak merasa tergugat dengan kehadiran mereka.
Ramli Sarip yang dahulunya bersama kumpulan Sweet Charity kali terakhir mengeluarkan album solo pada tahun 2002 dengan judul Kalam Kesturi.