Ramli MS cari pelapis baharu umur 13 hingga 18 tahun
Astro Awani
April 7, 2021 17:58 MYT
April 7, 2021 17:58 MYT
KUALA LUMPUR: Selama hampir lima dekad, seniman Datuk Ramli MS berkarya dan sepanjang tempoh berkenaan sudah terlalu banyak hal yang mengecewakan beliau terlihat di depan mata.
Kekecewaan yang sukar disembunyikan pemuzik tersohor itu ialah sikap sebilangan besar anak seni yang tidak memiliki jati diri sendiri.
Tegas Ramli, tatacara atau protokol sebagai anak seni tidak pernah diberi perhatian yang serius, sehingga ada kalanya, pendatang-pendatang baharu ‘melanggar’ peradaban yang dituntut dalam dunia hiburan.
“Sekarang, ramai artis yang ‘langgar’ saja benda-benda ini (seperti) jati diri dan tatasusila. Saya sudah lihat perkara ini selama berdekad-dekad dan ia nampaknya mula menjadi sesuatu yang normal.
“Kalau dibandingkan dengan zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee, disiplin mereka lebih padu terutamanya dari segi pengurusan masa. Inisiatif ini adalah untuk masa depan industri kita,” luah pengkritik tetap program Gegar Vaganza terbitan Astro itu lagi.
Didesak oleh hasrat berkongsi ilmu serta mendidik generasi baharu mencetuskan idea kepada Ramli untuk mencari pelapis yang akan mewarisi kegemilangan industri hiburan tanah air.
Dalam masa sama, karyawan berjiwa besar itu enggan pengalaman 47 tahun dalam dunia hiburan tidak diwarisi atau disalurkan kepada golongan yang benar-benar mahu mendalami ilmu.
Justeru, Panggung Tok Ram akan menjadi platform yang ditawarkan beliau kepada generasi baharu yang mahu membina kerjaya dalam dunia hiburan.
“Saya nak mencari bakat baru dan akan membina jati diri individu itu menjadi anak seni yang berkaliber. Dengan pengalaman saya selama 47 tahun di dalam industri, saya akan bantu menggilap apa yang ada dalam diri mereka.
“Selain bakat dan teknikal yang boleh diajar, jati diri dan tatasusila juga penting dalam diri seseorang anak seni,” katanya sambil menjelaskan inisiatif itu diambil bagi mencipta masa depan yang lebih baik buat anak-anak seni tanah air terutamanya barisan pelapis.
Bekerjasama dengan jenama susu terkemuka Farm Fresh, Panggung Tok Ram akan mencungkil dan menggilap bakat muda seawal usia 13 hingga 18 tahun, sekali gus akan diasuh dengan pelbagai ilmu bukan sahaja seni, bahkan mengenai sikap serta disiplin sebagai anak seni.
Berbeza dengan program-program realiti yang pernah diterbitkan sebelum ini, Panggung Tok Ram merupakan sebuah penerbitan yang akan berlangsung selama dua tahun.
“Ia adalah program berterusan dan minimum, akan memakan masa selama dua tahun. Dalam tempoh itu, kita akan dapat lihat dan kenal pasti sikap peserta dan cabang seni mana yang lebih sesuai untuknya,” kata beliau lagi.
Mana-mana rakyat Malaysia yang berminat boleh menyertai Panggung Tok Ram dengan mengirim
rakaman video serta maklumat peribadi ke nombor telefon 013-6268839.