Rami Malek imigran Arab Mesir cemerlang di Oscar

Agensi
Februari 25, 2019 17:10 MYT
RAMI MALEK menyampaikan ucapan ketika menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik di malam Anugerah Akademi ke-91 di Hollywood pada Ahad malam. - Gambar AP
KETIKA menerima anugerah di acara Golden Globe Awards pada 2017, pelakon legenda Meryl Streep menegaskan, industri perfileman Hollywood sebetulnya dipenuhi dengan ramai anak seni yang berasal dari luar Amerika Syarikat (AS).
Hollywood, kata Streep, harus menerima hakikat bahawa seandainya anak-anak seni imigran ini 'ditendang' keluar, Hollywood tidak punya apa-apa selain daripada sukan bola sepak dan seni mempertahankan diri semata-mata.
Senarai pelakon seperti Amy Adams misalnya disebut Streep berasal dari Italy sementara Ruth Negga pula Addis Ababa, Etihopia manakala Natalie Potrman dari Jerusalem, Israel.
Itu hanya jumlah kecil yang disenaraikan Streep sedangkan realitinya bukan sahaja dalam industri filem, bahkan di seluruh AS, jumlah imigran di negara Uncle Sam itu terlalu besar jumlahnya.
Kenyataan Streep mempunyai signifikan dengan kemenangan pelakon Rami Malek yang diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di malam Anugerah Akademi ke-91.
Malek menjadi tumpuan lensa media serta pemerhati filem lantaran lakonan cemerlangnya dalam Bohemian Rhapsody.
Memegang watak superstar legenda dunia, mendiang Freddie Mercury dalam naskhah berkenaan, Malek membuktikan seorang anak imigran sepertinya juga mempunyai keupayaan untuk berdiri sebaris dengan pelakon Gred A di Hollywood.
Aktor berdarah Mesir - Amerika itu mewarisi latar belakang yang hampir sama dengan Mercury.
Jika vokalis utama Queen itu mewarisi darah Parsi dan India daripada orang tuanya, Malek juga memiliki latar yang sama.
Rami, 37, lahir dalam keluarga Arab Mesir namun dibesarkan di AS.
Kemasyhuran yang dikecapai Mercury dan Rami sangat persis - kedua-duanya imigran yang menawan hati peminat industri hiburan global melalui bakat seni.
Selepas 15 tahun serius sebagai anak seni, Rami tidak mampu menafikan betapa gembiranya dia dengan pencapaian tertinggi itu.
“Kita menghasilkan filem mengenai lelaki gay, pendatang yang meneruskan hidup dalam keadaan sukar untuk memaafkan diri sendiri.
“Secara peribadi, saya meraikan beliau dan filem ini dengan anda semua sebagai bukti kita memang ternanti-nantikan naskhah seperti ini.
“Saya ialah anak pendatang dari Mesir dan filem ini adalah sebahagian daripada kisah saya. Tiada yang lebih berharga, selain berterima kasih kepada semua yang mempercayai bakat saya.
“Kejayaan ini adalah sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hidup,” katanya ketika menyampaikan ucapan kemenangannya.
Lelaki Arab Mesir ini tidak menjadi masyhur dan selesa dalam sekelip mata. Dia pernah menjalani kehidupan yang sukar sebelum namanya menjadi pujaan ramai.
Malek pernah menjadi penghantar pizza sebelum memahat nama dalam industri glamor.
Kerana mahu membuktikan kebolehannya selain mahu menyahut cabaran dalam filem Bohemian Rhapsody, Malek bersungguh-sungguh mendalami karakter Mercury termasuk memakai gigi palsu setahun sebelum proses penggambaran filem itu bermula.
Dalam Anugerah Akademi itu, Malek menewaskan pesaing-pesaingnya Christian Bale (Vice), Bradley Cooper (A Star Is Born), Willem Dafoe (At Eternity's Gate) dan Viggo Mortensen (Green Book).
Selain anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Bohemian Rhapsody juga membawa pulang trofi bagi kategori Suntingan Filem, Suntingan Bunyi dan Adunan Bunyi Terbaik.
#Bohemian Rhapsody #Hollywood #imigran #Oscar #Pelakon Lelaki Terbaik #Rami Malek
;