Ramai penonton hadir GV7 ketika PKPB? Ini perkara yang anda perlu tahu...

Hasimi Muhamad
Disember 6, 2020 23:26 MYT
Bagaimanapun, Raqim mengakui pihak produksi berdepan cabaran dalam mengekalkan kemeriahan konsert, sambil mematuhi SOP yang ditetapkan.
PUTRAJAYA: Selepas enam musim bersiaran, program realiti nyanyian, Gegar Vaganza Musim Ketujuh (GV7) terpaksa diadakan tanpa kehadiran penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang termasuk Putrajaya, sejak 14 Oktober lalu.
Dalam tempoh itu, pelbagai isu timbul khususnya berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Sejauh mana sebenarnya SOP dipatuhi?
Tinjauan Astro AWANI pada konsert separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi mendapati hanya satu laluan utama disediakan untuk memasuki kawasan tersebut, dengan garis panduan pencegahan COVID-19 yang ketat.
Ia termasuk mewajibkan penggunaan pensanitasi tangan, pemakaian pelitup muka serta mengimbas kod MySejahtera.
Menurut Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, seramai 120 individu sahaja termasuk kru dan peserta GV7 dibenarkan hadir pada satu-satu masa sepanjang konsert berlangsung.
“Kalau kita lihat 120 ada yang terbahagi di atas pentas, ada di dalam dewan, di dalam bilik kawalan dan bunyi serta persalinan.
“Jadi, mereka semua ada tugas masing-masing dan mereka tidak berada dan berkumpul di satu tempat yang sama pada satu-satu masa.
“Kita memastikan penjarakan fizikal berlaku, dan setiap minggu juga ada pihak daripada Majlis Keselamatan (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan memastikan SOP dipatuhi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, Ahad malam.
Bagaimanapun, Raqim mengakui pihak produksi sebenarnya berdepan cabaran dalam mengekalkan kemeriahan konsert sambil mematuhi SOP yang ditetapkan.
Susulan itu, jelas beliau langkah kreatif diambil dengan menghasilkan replikasi gambar bekas peserta GV, selain menyediakan ‘clapper’ bagi tujuan menggamatkan suasana.
“Kita dapati mungkin ada sedikit kekeliruan sebab ada juga orang mengatakan terdapat ramai penonton yang berada di PICC.
“Tetapi sebenarnya kita tidak ada penonton langsung, hanya mereka yang bertugas sahaja, peserta dan penaja (Farm Fresh sahaja).
“Kita pastikan memang tidak ada penonton yang hadir konsert pada setiap minggu,” jelas beliau lagi.
PKPB di beberapa kawasan termasuk Putrajaya tamat pada tengah malam tadi.
GV7 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse bersiaran selama 10 minggu.
Jangan lupa saksikan tujuh peserta akhir berentap merebut gelaran juara GV7 pada pukul 9 malam, Ahad depan di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.
#Gegar Vaganza #GV7 #PKPB #PDRM #COVID-19 #Putrajaya #hiburan
;