Rakan-rakan Naya Rivera beri penghormatan terakhir, ada peminat syak Glee suatu 'sumpahan'
Asyraf Roslan
Julai 14, 2020 13:00 MYT
Julai 14, 2020 13:00 MYT
TUJUH tahun lalu, peminat siri muzikal Glee, dikejutkan dengan pemergian watak utama Finn Hudson yang dipegang oleh Cory Monteith pada 13 Julai 2013.
Monteith ditemui mati dalam biliknya di Fairmont Pacific Rim Hotel di Vancouver, Kanada dan menurut laporan bedah siasat, kematiannya disebabkan keracunan akibat pengambilan heroin dan alkohol.
Betul-betul pada tarikh ulang tahun ketujuh pemergian Monteith, pihak polis di Jabatan Sheriff Daerah Ventura telah menemui mayat di Tasik Piru dekat daerah Ventura, iaitu lokasi terakhir, aktres Naya Rivera dilaporkan berada bersama anak lelakinya yang berusia 4 tahun.
"Kami yakin mayat yang kami temui adalah mayat Naya Rivera," kata Sheriff County Ventura, Bill Ayub pada sidang akhbar di tepi Tasik Piru dekat Los Angeles.
Penemuan mayat Rivera yang juga pemain watak Santana Lopez dalam Glee, menjadikannya bintang ketiga dari siri tersebut yang maut selepas Monteith dan seorang lagi pelakon utama, Mark Sailing, yang mati akibat bunuh diri pada tahun 2018.
Berita terbaru ini bagaikan satu kejutan buat seluruh peminat siri tersebut sehingga banyak pihak yang mula bertanya sama ada benarkah semua ini seperti suatu sumpahan?
Bercakap mengenai sumpahan, pada tahun kehilangan Monteith, Rivera turut menyampaikan lagu berjudul If I Die Young nyanyian asal The Band Perry dalam episod Glee untuk mengenang pemergian watak bawaan Monteith.
Namun lagu yang dinyanyikan oleh watak Santana itu memberikan satu makna yang lain buat peminat kerana perkara tersebut seperti sama apa yang berlaku kepadanya.
If I die young bury me in satin Lay me down on a bed of roses Sink me in the river at dawn
Pada masa yang sama, rakan 'sekelas' Rivera dalam siri itu turut memberikan penghormatan terakhir buat bintang berusia 33 tahun itu.
Terdahulu, misteri kehilangan Rivera dikesan selepas penemuan anak lelakinya yang berusia empat tahun didalam kapal yang disewa Rivera.