Rakan-rakan akan rindui keperibadian Lok-U

Farhana Joni
Januari 22, 2020 20:09 MYT
Shuib Sepahtu dan Mark Adam antara rakan artis yang cukup terasa dengan pemergian Lok-U. - Astro Gempak
Peramah dan tidak lokek ilmu, antara keperibadian yang paling dirindui rakan-rakan artis terhadap pemuzik terkenal, Faizal Uzir atau lebih mesra disapa Lok-U.
Lebih terasa apabila Allahyarham turut dianggap seperti keluarga sendiri kerana penerbit muzik itu sering bertanya khabar mengenai keadaan rakan-rakan.
Menurut penyanyi, Mark Adam, yang masih terkejut dengan pemergian itu, Allahyarham sangat rapat dengannya kerana banyak menjalankan aktiviti dan projek nyanyian bersama.
"Arwah pernah melawat sekolah saya, Suara Akademi dan saya memang anggap dia macam keluarga.
"Sudah tentu saya akan merindui karya-karya arwah dan cara dia menyampaikan isi hati menerusi muzik yang dihasilkannya," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik bedah Hospital Serdang, di sini.
Bagi pelawak terkenal, Shuib Sepahtu yang mengetahui mengenai pemergian Allahyarham Lok U daripada isterinya, Siti Sarah Raisuddin, pagi ini.
"Saya sangat terkejut sebab kami semua rakan-rakan artis mengenali arwah sebagai seorang yang sangat aktif dan aktif sukan," katanya.
Tambah juara rancangan realiti televisyen, Raja Lawak Musim Ketiga itu, lebih menyedihkan apabila dia dan arwah pernah menziarahi keluarga Allahyarham Aji Samin dan Wan Kelly Abdul Rahman.
"Sebelum ini ziarah arwah Kelly dan arwah Aji, arwah ada sekali dengan saya. Hari ini macam tak percaya tengok dia pula," katanya.
Pemergian Lok-U pada usia 46 tahun pagi ini mengejutkan seluruh industri muzik tanah air.
Lok-U dikatakan mengalami sesak nafas di kediamannya di Puncak Jalil, di sini sebaik pulang dari bersenam.
Lok-U merupakan antara pemuzik yang disegani dalam kalangan penggiat muzik tanah air dan Allahyarham sering diberi tanggungjawab mengetuai kumpulan pemuzik iringan dalam pelbagai program realiti di pelbagai stesen televisyen.
BACA: Industri muzik berduka, pemergian Lok-U dirasai rakan-rakan artis
BACA: Arwah Lok-U rindu anak perempuan, hitung hari jemput di asrama
#Lagu #Mark Adam #pelawak #pemuzik #penerbit #Shuib Sepahtu
;