Rakan artis kongsi keperibadian Allahyarham Dahlan

Hasimi Muhamad
Mei 29, 2019 12:33 MYT
Dahlan Zainuddin meninggal dunia di Hospital Selayang pada Selasa malam akibat serangan strok.
Pemergian penyanyi era 70-an, Datuk Dahlan Zainuddin di Hospital Selayang pada Selasa malam memberi kesan yang mendalam kepada rakan-rakan artis.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave, berkata kenangan bekerja dengan Allahyarham Dahlan merupakan pengalaman yang cukup indah dan masih segar dalam ingatannya.
Katanya, penyanyi yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu banyak menabur bakti dalam industri seni tanah air.
"Satu kehilangan besar kerana sebagai seorang penyanyi arwah telah banyak berjasa untuk hidupkan dunia seni suara.
"Malam tadi saya bersama (di hospital) dan kita hanya boleh berdoa semoga rohnya dicucuri rahmah Allah SWT," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, di sini hari ini.
BACA: "Kisah Seorang Biduan saya suka" - Agong berkenan ziarah jenazah Dahlan Zainuddin
Menurut Dave, sepanjang hayat Dahlan, Allahyarham tidak pernah bermasam muka dengan mana-mana pihak selain seorang yang mementingkan penjagaan kesihatan.
"Dia ini ahli sukan, main bola sepak dan selalu menjaga kesihatannya tetapi apabila ajal sampai (siapa kita) untuk halang dan saya rasa kehilangan seorang rakan karib," katanya.
Sementara itu, vokalis kumpulan Spring, Ameng berkata sebagai artis senior Allahyarham banyak membantu dan mencurah ilmu kepada artis-artis baharu.
"Saya mengenali arwah sejak zaman kanak-kanak lagi di mana lagu-lagu beliau antara lagu yang digunakan untuk belajar menyanyi dan bermain alt muzik seperti Kisah Seorang Biduan.
"Namun, begitu kenangan yang paling jelas sekali yang bermain di fikiran saya adalah apabila saya pernah bekerja di bawah arwah. Masa itu Datuk Dahlan bekerja dengan Syarikat Sony Music sebagai pengurus dan saya adalah artis yang bernaung di bawah syarikat tersebut. Hampir lima tahun banyak masa bersama (Allahyarham) kerana kami membuat program promosi album dan persembahan-persembahan pentas," katanya.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Zohor, hari ini.
Allahyarham meninggalkan balu, Datin Effa Rizan serta tiga anak iaitu Natasha Idha, Mohd Danial dan Nur Athinia Ines.
Dahlan, 78, dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri akibat serangan strok, Sabtu lepas, yang merupakan serangan strok kedua selepas yang pertama pada tahun 2016 yang mengakibatkan Allahyarham lumpuh sebelah kiri.
BACA: Penyanyi era 70-an Dahlan Zainuddin meninggal dunia
#artis veteran #Dahlan meninggal dunia #Dahlan Zainuddin #Industri hiburan tanah air #perginya seorang permata #Selebriti Malaysia
;