Rakan anak dakwa jadi mangsa gangguan seksual Dustin Hoffman
Astro Awani
Disember 15, 2017 19:59 MYT
Disember 15, 2017 19:59 MYT
SEMAKIN ramai wanita yang tampil membuat pengakuan menjadi mangsa gangguan seksual pelakon veteran Hollywood Dustin Hoffman.
Terbaharu, seorang penulis drama mendedahkan Hoffman bertindak menunjukkan alat sulitnya dalam kejadian di sebuah bilik hotel di New York pada tahun 1980.
Cori Thomas membuat pendedahan itu kepada majalah The Variety dan mengesahkannya kepada agensi berita The Associated Press menerusi satu kiriman emel.
Thomas yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan rakan sekelas kepada anak gadis Hoffman.
Mengimbau pengalaman hitam itu, Thomas memberitahu Hoffman menjemputnya ke bilik hotel sementara menunggu kedatangan ibunya selepas selesai makan malam bersama rakan-rakannya.
Sebaik anaknya meninggalkan bilik hotel, pelakon itu masuk ke bilik air untuk mandi sebelum keluar dengan hanya bertuala sebelum bertindak melucutkannya di hadapan Thomas.
Hoffman kemudian menyarungkan jubah tidur dan meminta Thomas untuk mengurut kakinya sebelum berulang kali bertanya kepada gadis itu adakah dia mahu sekali lagi melihatnya dalam keadaan bogel.
The Variety dalam laporannya turut menyertakan pengakuan seorang lagi wanita Melissa Kester yang mendakwa pemenang anugerah Oscar itu menyeluk seluar dan merabanya dalam insiden di sebuah studio rakaman.
Insiden berlaku ketika Hoffman merakamkan muzik bagi filerm “Ishtar” dan ia hanya berlaku di belakang dinding yang memisahkan mereka dengan beberapa orang lagi, termasuk teman lelaki Kester.
Sebelum ini, pelakon Anna Graham Hunter menuduh pelakon berusia 80 tahun ini pernah meramas payu daranya dan membuat kenyataan tidak senonoh terhadapnya ketika dia berusia 17 tahun.
Kejadian pada tahun 1985 itu berlaku ketika dia menjalani latihan amali di set penggambaran filem televisyen “Death of a Salesman”.
Hoffman dalam kenyataan balasnya memohon maaf atas perlakuannya namun mahu orang ramai tahu insiden itu tidak menggambarkan dirinya yang sebenar.