Rakam, format kembali hasil karya untuk tayangan dalam talian - Adlin Aman Ramlie

Madiha Abdullah
Jun 6, 2020 12:38 MYT
Biarpun bukan karya baharu, namun tayangan semula di platform digital buka lembaran baharu bagi pengkarya dan penonton, kata Adlin.
Penggiat seni persembahan perlu mula memikirkan untuk merakam dan memformat hasil karya mereka bagi membolehkan ia ditayangkan di pelbagai platform digital.
Hal ini dilihat sebagai satu keperluan bukan sahaja untuk memenuhi dan menyaingi perkembangan teknologi, tetapi juga bagi memastikan jangka hayat karya berkenaan berpanjangan.
Bagi pelakon dan pengarah, Adlin Aman Ramlie, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang pandemik COVID-19 dilihat membuka lembaran baharu buat pengkarya.
"Kebiasaannya bagi satu pementasan, jangka hayatnya tidak lama dan terhad. Ia hanya boleh ditonton ketika ia dipentaskan.
"Tetapi apabila ia dirakam dan dipersembahkan secara digital, capaiannya lebih luas dan medium yang boleh digunakan juga sangat banyak.
"Kita ada sosial media, penstriman OTT (over the Top) atau tayangan konvensional melalui TV satelit atau free to air.
"Ini bagus kerana ia juga mampu mendatangkan sumber baharu bagi karyawan kerana kesemua ini melibatkan royalti IP yang akan menghidupkan ekosistem lebih baik dalam industri," katanya menerusi panggilan video bersama Astro AWANI.
Biarpun mengakui menonton pementasan secara langsung menawarkan pengalaman berbeza, Adlin berpendapat perkara itu tidak akan menjejaskan kualiti sesebuah hasil karya.
"A good story is still a good story. Menonton melalui platform dalam talian tetap membawa keunikan tersendiri.
"Seperti P. Ramlee The Musical, ia bukan karya baharu kerana ia dipentaskan kali pertama 13 tahun lalu.
"Tetapi sehingga ke hari ini, ia masih menjadi rujukan malah tanda aras bagi pementasan muzikal tempatan.
"Menontonnya, kita bukan sahaja mengimbau kembali ketokohan seniman agung kita tetapi juga mengetahui latar belakang sejarah industri perfileman dahulu," ujarnya.
P. Ramlee The Musical, terbitan Enfiniti yang kini sedang ditayangkan di platform Vimeo, merupakan hasil arahan bersama Adlin dan Zahim Albakri.
"Rakaman secara langsung ini memperlihatkan kehebatan dari segi rekaan pentas dan kostum malah peminat muzik juga pasti berpuas hati kerana kita turut selitkan lagu rakaman asal dan lagu baharu.
"Ia sebuah pementasan yang dibuat dengan penuh ketelitian, termasuklah format rakaman videonya yang bermutu tinggi," tambahnya.
P. Ramlee The Musical dipentaskan di Istana Budaya pada 2007, dan dibintangi Sean Ghazi dan Liza Hanim sebagai P.Ramlee dan Saloma, selain turut menampilkan Melissa Saila, Atilia Haron dan kemunculan khas Datuk Seri Siti Nurhaliza.
#Adlin Aman Ramlie #karya #karyawan #P Ramlee The Musical #platform digital #teknologi #video
;