'Raja Syahiran banyak ciri-ciri menantu pilihan' - Ibu Uyaina
Asyraf Roslan
Disember 30, 2020 17:47 MYT
Disember 30, 2020 17:47 MYT
PENYANYI Raja Syahiran mempunyai ciri-ciri menantu pilihan ibu pelakon da pengacara terkenal, Uyaina Arshad.
Itu pengakuan ibu Uyaina, Siti Noor Farah, ketika ditanya hos Nabil Ahmad jika bekas peserta program Dansa dan Sing itu mempunyai ciri-ciri untuk dijadikan menantu.
"Banyak ... Alhamdulillah," jawabnya ringkas.
Bak kata orang-orang lama kalau nak pikat anak, mestilah kena pandai mengambil hati orang tua dulu.
Raja Syahiran yang popular dengan lagu If I Could Go Back itu mengakui bahawa dia sangat terkejut dengan pengakuan yang dibuat secara langsung dalam program tersebut.
"Saya terkejut bila mak Uyaina buat pengakuan tersebut, sebab bagi saya ia menjadi satu tanggungjawab besar untuk saya sebab orang akan harap yang terbaik daripada saya untuk menjadi anak dan pasangan yang terbaik untuk Uyaina," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pada masa yang sama, Raja Syahiran menyatakan bahawa kejutan untuk membawa keluarga Uyaina ke set MeleTOP dirancang bersama pihak produksi.
"Kejutan itu saya rancang bersama produksi dan saya katakan kepada mereka kejutan paling baik untuk dia adalah bawa keluarganya ke set MeleTOP.
"Dia sangat rapat dengan keluarganya, disebabkan memberi fokus kepada kerjaya, jadi dia tidak dapat meluangkan masa bersama mereka jadi bagi saya itulah kejutan paling baik untuknya," tambahnya.
Ditanya mengenai perancangan seterusnya bersama pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu, Raja meminta agar semua mendoakan yang terbaik untuk mereka berdua.
Dia juga memberitahu apa-apa perancangan seterusnya akan dirancang sebaik-baiknya bersama keluarga.
Dalam perkembangan lain, Raja Syahiran turut menyatakan bahawa dia kini sedang memberi tumpuan terhadap beberapa projek termasuk lakonan untuk tahun 2021.