Michael Jackson

PARIS: Lima tahun selepas pemergian “Raja Pop”, Michael Jackson bakal tampil dengan album baharu yang pastinya ditunggu-tunggu peminat setia mendiang.

Pengumuman di buat syarikat rakaman Epic Recods, anak syarikat Sony Music pada Isnin, yang akan menampilkan lapan buah lagu yang tidak pernah diperdengarkan sebelum ini.

Lagu diambil daripada simpanan perpustakaan muzik Michael yang mempunyai rakaman vokal penuh sebelum diserahkan kepada penerbit berwibawa untuk menyusun semula agar lagu memenuhi citarasa semasa.

Album dinamakan “XSCAPE” yang dipetik daripada judul salah sebuah lagu dalam album itu dan akan dilancarkan pada 13 Mei ini.

Ia akan cuba mengekalkan ciri-ciri dan integriti yang ada pada Michael.

Antara penerbit yang tersenarai adalah nama-nama besar seperti Timbaland, Rodney Jerkins, Stargate and John McClain.

Versi istimewa atau “deluxe” album tersebut akan mengandungi rakaman asal suara Michael.

“Michael sentiasa tampil dengan sesuatu yang mendahului zaman dan membuka ruang untuk penerbit baharu untuk mencari bunyi-bunyi baharu. Dia sentiasa relevan dan sesuai dengan sebarang zaman. Lagu-lagu ini menggambarkan semangat itu,” kata John Branca dan John McClain, pengurus bersama peninggalan Michael.

Epic Records pada 2010 turut menerbitkan album “Michael” selepas kematian mendiang.

Ia mengandungi sembilan buah lagu daripada rakaman sesi akhir Michael untuk albumnya akan datang.