Raja Azmi selamat dinikahkan
Astro Awani
Oktober 14, 2013 12:15 MYT
Oktober 14, 2013 12:15 MYT
Penerbit filem terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, selamat dinikahkan dengan pasangannya, Mohd Eddie Ghazali, 45, tepat jam 9.18 malam tadi di Laman Santai, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Pasangan tersebut telah mengikat tali pertunangan pada 13 Julai lalu dengan diuruskan sepenuhnya oleh anak-anak pasangan itu di kediaman Raja Azmi sekeluarga di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Dengan hanya sekali lafaz, Mohd Eddie yang juga bekas pemain bass kumpulan rock CRK sah menjadi suami kepada Raja Azmi. Pasangan tersebut dinikahkan jurunikah Major (B) Ismail Wan Ahmad dengan berwali abang pengantin perempuan Raja Azman Raja Sulaiman.
Raja Azmi menerima mas kahwin RM300 berserta satu dulang hantaran dan berbalas tiga. Majlis pernikahan kemudiannya diteruskan dengan majlis persandingan.
Raja Azmi menyatakan rasa syukurnya kerana majlis pernikahan itu berjalan lancar seperti apa dirancangnya mereka dan turut menyatakan rasa bimbang kerana akan memikul tanggungjawab besar sebagai seorang isteri disamping menjadi ibu yang baik kepada anak-anak mereka.
Penerbit filem ‘... Dalam Botol’ itu sebelum ini pernah berkahwin dengan jaguh beregu badminton negara, Jalani Sidek manakala Mohd Eddie pula telah lima tahun menduda ekoran kematian isteri.