Raih dana tidak sah: Kelab peminat Jimin BTS antara 22 akaun disekat Weibo
Astro Awani
September 8, 2021 13:40 MYT
September 8, 2021 13:40 MYT
KUALA LUMPUR: Laman blog mikro di China, Weibo bertindak menyekat satu kelab peminat kumpulan K-pop BTS daripada mengemaskini kandungan mereka selama 60 hari.
Menurut Weibo, kelab berkenaan yang mempunyai 1.1 juta pengikut didapati maraih dana secara tidak sah.
Ini selepas foto pesawat dengan paparan ditempah khas yang dibiayai kelab tersebut tersebar di dalam talian.
Tempahan dibuat kelab tersebut bagi meraikan 'Hari Jimin' sempena hari kelahiran ke-26 anggota popular dari kumpulan BTS itu pada 26 Oktober nanti.
Sekatan oleh Weibo ini dilakukan di tengah kempen China untuk memastikan industri hiburan teratur dan mengekang tingkah laku peminat yang tidak rasional.
Presiden China, Xi Jinping sebelum ini menggesa satu rejuvenasi kebangsaan ke atas perniagaan, pendidikan, kebudayaan dan agama.
Antara tindakan yang diambil China dalam ikuti dasar itu termasuk mengurangkan masa kanak-kanak main permainan dalam talian, mengurangkan perhatian yang melampau kepada selebriti, menghalang lelaki yang berperwatakan lembut di televisyen dan sekat rancangan hiburan realiti mencari bintang popular.
Weibo mendapati kelab berkenaan meraih dana secara tidak sah dan ia turut menyekat 21 akaun peminat lain untuk 30 hari susulan obsesi ke atas selebriti termasuk K-pop yang melampau.
Weibo mempunyai sekitar 566 juta pengguna aktif bulanan sehingga suku kedua 2021.