Rai ulang tahun ke-25, netizen harap Slam buat konsert reunion
Gempak
Disember 27, 2018 18:00 MYT
Disember 27, 2018 18:00 MYT
DIAM tak diam sudah 25 tahun kumpulan Slam ditubuhkan. Populariti yang diraih oleh kesemua anggota kumpulan itu Zamani, Shah, Ajak, Lili, Man dan Eddie tidak hanya terbatas dalam negara sahaja.
Sebaliknya, Slam yang sangat popular menerusi lagu Kembali Terjalin dan Gerimis Mengundang juga mempunyai peminat di Indonesia selain Singapura dan Brunei.
Kekuatan Slam sehingga mampu bertahan ke hari ini disebabkan karya-karya yang mereka tampilkan sangat dekat dengan selera dan jiwa peminat muzik Melayu.
Dalam masa sama, kelunakan vokal penyanyi Slam, Zamani juga antara faktor yang mendorong kejayaan kumpulan itu.
Malah, kemunculan Zamani sebagai peserta program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) tetap menjadi tumpuan ramai meskipun dia berdepan dengan masalah kesihatan.
Sempena ulang tahun ke-25 Slam, gitarisnya, Shah memuat naik entri di laman Instagramnya, shahslam_ merakamkan rasa terima kasih kepada semua yang menyokong penubuhan kumpulan itu sehingga boleh bertahan sehingga sekarang.
"Terima kasih tak terhingga kepada semua yang masih mendengar lagu2 Slam & mengundi di carta2 radio.. Slam dah lebih 25tahun.. happy 25 anniversary Slam," katanya.
Ucapan Shah itu menarik perhatian sebilangan besar netizen yang turut berkongsi kegembiraan kerana kejayaan mempertahankan band berkenaan.
Selain ucapan tahniah, netizen turut mencadangkan Slam mengadakan konsert reunion besar-besaran bagi meraikan ulang tahun mereka.
Ini, kata mereka, Slam merupakan antara kumpulan muzik yang memiliki reputasi yang cukup baik selain mempunyai koleksi lagu yang popular dan bersifat malar segar.
Selain Kembali Terjalin dan Gerimis Mengundang, lagu-lagu lain yang turut melonjakkan populariti kumpulan ini ialah Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih dan banyak lagi.
#band popular
#Brunei
#Gerimis Mengundang
#Indonesia
#Kembali Terjalin
#kumpulan Slam
#Malaysia
#muzik
#Singapura
#Tak Mungkin Berpaling