Ragaman tampilkan sisi berbeza Faizal Tahir
Gempak
Ogos 29, 2018 06:26 MYT
Ogos 29, 2018 06:26 MYT
PENYANYI, komposer dan penerbit popular Faizal Tahir telah melancarkan single terbaru yang berjudul Ragaman.
Dalam single terbaru ini, Faizal telah menampilkan kelainan dari segi gubahan muzik dan juga genre yang mempunyai elemen 'reggae'.
"Lagu ini menawarkan sisi berbeza saya, genre dan gaya penyampaiannya amat berlainan dari lagu-lagu saya sebelum ini.
"Jika sebelum ini saya kerap membawa tema yang agak serius, tetapi dalam single Ragaman ini, saya memilih tema yang lebih santai dan 'relatable' dengan pendengar.
"Selain itu, proses untuk menyiapkan lagu ini hanya mengambil masa lebih kurang tiga ke empat bulan sahaja, ini merupakan single yang paling cepat disiapkan selama penglibatan saya sebagai seorang penyanyi," ujarnya.
Faizal ditemui di majlis Media Gathering Bersama Faizal Tahir sempena pelancaran single terbaru (Ragaman) bertempat di pejabat urusan Warner Music Malaysia, Petaling Jaya pada Rabu.
Single Ragaman merupakan karya ciptaan Faizal sendiri bersama Mike Chan dan Romeo manakala liriknya pula dihasilkan oleh Faizal dengan kerjasama Mike Chan, Karim Karam dan Jaare.