Rafidah Aziz diiktiraf Nona Superwoman of The Year 2018

Afiq Ariffin, Eka Roslee
Disember 5, 2018 12:13 MYT
NONA meraikan wanita-wanita yang banyak memberi inspirasi serta berjaya dalam bidang masing-masing.
Bekas menteri kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz menerima pengiktirafan sebagai Nona Superwoman of The Year 2018 oleh majalah Nona terbitan Kumpulan Karangkraf dalam majlis gemilang yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.
Selain Rafidah, majalah berkenaan turut memberi pengiktirafan kepada seniwati tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang menerima anugerah Nona Legend Award dan Nona Influencer Award manakala pelakon, pengacara dan usahawan popular Neelofa Mohd Noor pula diiktiraf dalam kategori Nona Hijab Award.
Antara anugerah lain yang turut diberikan ialah Nona Celebrity Business Award (Mila Jirin), Nona Fashionista Award (Rozita Che Wan), Nona Motivator Award (Prof Dr. Muhaya), Nona Charity Award (Puan Sri Azrene Abdullah), Nona Royal Award (Tunku Kaiyisah), Nona Active Award (Datuk Nicol David), Nona VIP Award (Puan Sri Sharifah Sabrina) dan Nona Entrepreneurs Award (Datin Vivy Yusof).
Penganjuran Nona Superwoman 2018 oleh majalah Nona seiring dengan kempen Nona Superwoman bagi meraikan golongan wanita yang telah banyak memberi inspirasi serta melakar kejayaan dalam bidang masing-masing.
Bertemakan ‘Inspirasi Wanita Bermula di Sini’, Nona Superwoman Award 2018 mengiktiraf wanita dari pelbagai bidang menerusi 36 kategori yang terdiri daripada golongan selebriti, golongan usahawan, pakar motivasi, ahli sukan, ahli korporat serta ramai lagi.
Menurut Editor Pengurusan Nona, Kiffy Razak, pihaknya sangat teruja dengan penerimaan dan sambutan daripada penerima-penerima anugerah yang telah memberikan inspirasi kepada wanita lain dengan kejayaan mereka.
“Sebelum kami hadir dengan Nona Superwoman Award 2018,kami pernah menganjurkan acara seumpama ini seperti Nona 3 Dekad, 60 Wanita inspirasi Nona dan Temasya Nona Wedding Trend.
“Namun, penganjuran acara sebelum ini hanya pada skala yang kecil. Tahun ini kami tampil dengan lebih gah dan lebih berprestij. Para penerima anugerah ini terdiri daripada wanita yang terbukti memberi banyak inspirasi dan kekuatan kepada wanita diluar sana untuk terus maju kehadapan dalam dunia yang semakin mencabar ini,” katanya.
Hadir sama pada malam kemuncak itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
#AFFIN BANK #Kiffy Razak #majalah nona #Max Factor X #Neelofa #Nicol David #Nona Superwoman Award 2018 #Prof Muhaya #Rafidah Aziz #Rina binti Mohd Harun #Rozita Che Wan #Siti Nurhaliza #swarovski #Vivy Yusof #Zuraida Kamaruddin
;