A.R. Rahman kembali menghibur peminat Malaysia
Bernama
Februari 19, 2014 07:30 MYT
Februari 19, 2014 07:30 MYT
Penggubah muzik India legenda A.R. Rahman sedia untuk menghibur kembali peminat setianya di Malaysia di sini pada April selepas persembahannya kali terakhir sedekad lalu.
Pemenang Grammy sebanyak dua kali itu yang mempunyai jumlah peminat yang mengagumkan di negara ini akan membuat persembahan di Stadium Merdeka pada 26 April.
"Saya pernah ke sini pada 2003 untuk konsert 'Unity of Light' dan saya amat teruja untuk mempersembahkan himpunan lagu-lagu terbaru kepada peminat saya di sini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Rahman berkata konsert tiga jam itu akan memukau penonton dengan rangkaian lagu-lagu popular yang beliau gubah dari filem Hindi dan Tamil termasuk lagu-lagu dari filem 3D Tamil yang akan ditayangkan tidak lama lagi, Kochadaiyaan.
Konsert itu, berjudul 'Infinite Love', dianjurkan oleh syarikat hiburan India DML Live dan dibantu oleh Malaysia Major Events, yang terletak di bawah naungan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Tiket bagi konsert itu berharga dari RM98 boleh dibeli mulai 3 petang Jumaat ini menerusi www.dmllive.com.
Diskaun hingga 15 peratus diberi kepada mereka yang membeli tiket awal.