‘Qodrat 2’ bakal merasuk pawagam tahun hadapan
Gempak
Oktober 30, 2024 15:40 MYT
Oktober 30, 2024 15:40 MYT
FILEM seram yang cukup besar di Indonesia dan hangat diperkatakan pada tahun 2022, Qodrat telah berjaya mencatat kejayaan luar biasa dengan menerima lebih 1.7 juta penonton di Indonesia dan kutipan box office mencecah IDR60 bilion (AS$ 5.3 juta).
Ringkasan AI
- Filem seram Qodrat mencatat kejayaan besar di Indonesia dengan lebih 1.7 juta penonton dan kutipan box office mencecah IDR60 bilion (AS$ 5.3 juta). Ia juga berjaya di pawagam luar negara seperti Malaysia, Singapura, Kemboja, Myanmar, dan Vietnam.
- Rentetan kejayaan tersebut, penerbit akan menampilkan Qodrat 2 yang dijadualkan untuk tayangan pada tahun hadapan. Astro Shaw akan bekerjasama dengan MAGMA Entertainment untuk menghasilkan sekuel ini.
- Filem ini akan diarahkan oleh Charles Gozali dan menampilkan pelakon utama seperti Vino G. Bastian serta watak baharu oleh Acha Septriasa, Della Dartyan, dan Dony Alamsyah.
Lebih membanggakan, Qodrat turut berjaya 'merasuk' di pawagam-pawagam negara luar seperti Malaysia, Singapura, Kemboja, Myanmar, dan Vietnam.
Semasa tayangan filem ini di pawagam Malaysia yang dipasarkan oleh penerbit tempatan Astro Shaw, turut meraih kutipan RM6 juta.
Rentetan daripada kejayaan tersebut, pihak penerbit bakal menampilkan Qodrat 2 yang dijadualkan untuk menemui penonton pada tahun hadapan.
Pada Rabu, pihak Astro Shaw mengumumkan akan bekerjasama bagi menghasilkan sekuel yang dinanti-nantikan dan membawa filem Qodrat 2 untuk tayangan di pawagam Malaysia.
Baru-baru ini, Astro Shaw bersama penerbit Qodrat 2, MAGMA Entertainment telah menandai perjanjian persefahaman (MoU) di MIPCOM Cannes, Perancis sebagai usaha memperkukuhkan industri perfileman serantau.
Penerbit Eksekutif Qodrat 2 merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata pihak Astro meluahkan rasa teruja dengan kerjasama bersama MAGMA Entertainment.
“Kami amat teruja dapat sekali lagi bekerjasama dengan MAGMA Entertainment dalam meneruskan legasi Qodrat.
"Kerjasama ini mengukuhkan komitmen Astro Shaw untuk membawa karya serantau yang berkualiti tinggi kepada penonton di Malaysia.
“Melihat sambutan baik filem Qodrat di Malaysia pada tahun 2022, kami percaya bahawa kekuatan jalan ceritanya yang dekat dan menyentuh jiwa penonton tempatan menjadi antara faktor utama kejayaan tersebut.
“Rentetan daripada kejayaan itu, kami yakin kehadiran Qodrat 2 berpotensi memberi impak yang lebih besar dengan naratif yang lebih mendalam serta elemen seram yang lebih mendebarkan.
"Insya-Allah, Qodrat 2 akan menemui penonton pada suku pertama tahun hadapan, jadi nantikan,” ujarnya.
Qodrat 2 akan membawakan kisah yang lebih mendalam dan gelap.
Penonton akan dibawa mengikuti perjalanan Qodrat, seorang ustaz dalam ilmu rohani (ruqyah) dalam usaha mencari isterinya, Azizah, yang telah menjual jiwanya kepada syaitan Asu’ala dalam usaha untuk menyelamatkan anak mereka, Alif.
Filem ini diarahkan oleh pengarah sama Qodrat, iaitu Charles Gozali.
Sementara itu, turut mengembalikan pelakon utamanya, Vino G. Bastian serta kemunculan watak baharu yang dijayakan oleh Acha Septriasa, Della Dartyan, dan Dony Alamsyah.
Ikuti perkembangan terbaharu filem Qodrat 2 menerusi akaun media sosial Astro Shaw. -Gempak