Putri Ariani terima lebih 10 juta notifikasi melalui media sosial
Agensi
Jun 16, 2023 09:00 MYT
Jun 16, 2023 09:00 MYT
JAKARTA: Selepas meraih golden buzzer di acara America’s Got Talet (AGT), populariti remaja Indonesia, Putri Ariani meledak ke seluruh dunia.
Namanya menjadi sebutan dan kebanggaan di negara kelahirannya lantaran bakat besar yang dianugerahkan kepada Putri Ariani di sebalik kekurangannya kerana tidak dapat melihat.
Rakaman saat-saat manis Putri Ariani diberikan Golden Buzzer oleh salah seorang juri GOT, Simon Cowell baru-baru ini ditonton sebanyak 14 juta kali dalam tempoh masa dua hari.
Itu sebagai bukti kehadiran Putri Ariani sangat dialu-alukan oleh segenap peminat muzik antarabangsa.
Justeru, tidak hairan kenapa rakyat Indonesia meraikan Putri Ariani yang disifatkan telah membantu memasyhurkan lagi nama negara itu di persada dunia.
Impak GOT juga membuatkan Putri Ariani tidak menang tangan melayan permintaan ramai.
Bahkan, ujar remaja berusia 17 tahun itu, telefon bimbitnya gagal berfungsi selepas dia mendapat perhatian Cowell, seorang juri yang diketahui ramai sangat sukar bersetuju dengan persembahan peserta apa lagi untuk menekan butang Golden Buzzer.
Dalam pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), Putri Ariani berkongsi kisah bagaimana telefon bimbitnya gagal berfungsi.
“Telefon bimbit saya tidak boleh digunakan lagi kerana dulu notifikasi yang diterima tidak banyak, kalau banyak sekalipun sekitar 1,000 hingga 2,000 sahaja,” cerita Putri Ariani saat bertemu Jokowi di Istana Merdeka pada Rabu lalu.
Usai menjelaskan situasi itu, Jokowi bertanya pada Putri Ariani: “Sekarang?”
"Alhamdulillah sekarang 10 juta lebih… makanya mati telefin bimbit" jawab Putri Ariani.
Kesemua notifikasi itu diterima Putri Ariani melalui akaun media sosialnya.
Pada akhir pertemuan, Presiden Jokowi turut bertanya kepada Putri Ariani apa lagi keperluan yang belum dipenuhi selain adakah mendapatkan telefon bimbit baharu turut menjadi keutamaan ketika ini.
Namun, bagi Putri Ariani, apa yang paling utama diharapkan daripada pemimpin tertinggi Indonesia itu ialan sokongan tidak berbelah baginya.
Awal minggu lalu, Putri Ariani yang menyertai uji bakat AGT memperoleh Golden Buzzer daripada Cowell.
Dalam uji bakat tersebut, Putri Ariani menyanyikan lagu Loneliness ciptaannya sendiri.
Sebaik selesai menyanyikan lagu itu, Cowell mendekati Putri Ariani di pentas dan memintanya menyampaikan sebuah lagu lain.
Putri Ariani memenuhi permintaan Cowell dengan menyanyikan Sorry Seems to Be the Hardest Word yang pernah dipopularkan oleh Elton John sambil memetik piano.
Persembahan dua lagu itu oleh penyanyi baharu itu meraih sokongan daripada penonton sehingga memberikan Putri Ariani standing ovation selain sebilangan penonton yang menitiskan air mata. - Agensi