Puteri sulung sah bergelar Isteri, A Aida bercucuran air mata beri ucapan
Media Hiburan
Julai 15, 2023 15:00 MYT
Julai 15, 2023 15:00 MYT
PENERBIT terkenal, Datuk A Aida tidak dapat menahan sebak ketika diminta memberikan ucapan apabila puteri sulung kesayangannya, Wan Az Aleesa Wan Aminuddin, 27, kini sah menjadi milik juruterbang, Zain Azrai Abdul Aziz, 27.
Lebih bermakna, bekas suaminya yang juga penyanyi Ameng Spring menikahkan sendiri Wan Az Aleesa dengan disaksikan Penolong Pendaftaran dan Imam Genting Highlands, Fawwaz Zarin Che Lah.
Dengan sekali lafaz, Wan Az Aleesa sah bergelar isteri kepada Zain pada majlis pernikahan yang berlangsung di pusat peranginan, Kasturi D’Manggis, Genting Highlands, kira-kira jam 11.15 pagi.
“Buat puteriku Aleesa, rupanya sudah sejauh ini kita berjalan bersama.
"Sebegitu deras waktu bergulir tanpa henti, begitu pantas juga dikau tumbuh dan dewasa dalam peribadi penuh mandiri.
“27 tahun lalu. Ya, Mama masih ingat akan detik itu. Ketika ada satu nyawa dalam kandungan, ia memberi erti yang sangat istimewa.
“Mengandungkan Aleesa selama 9 bulan 10 hari, seluruh hidup Mama berubah. Ketika itu, Mama temui makna cinta yang sebenarnya.
“Pada hari kelahiranmu, lengkaplah perjalanan hidup Mama sebagai seorang wanita. Kehadiran Aleesa memberikan Mama gelaran baharu, seorang ibu.
“Aleesa mengangkat martabat dan darjat Mama kepada satu persinggahan yang abadi, melestari mimpi indah seorang perempuan.
“You are my sun, my moon, and all of my stars,” luah A Aida.
A Aida menambah, Aleesa adalah bukti kehidupannya dalam setiap susah dan senang.
“Aleesa saksi setiap duka nestapa dan senyum bahagia Mama. Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar makna, kita hadapi bersama selama 27 tahun ini.
“Teguhnya kasih sayang Aleesa menjadikan Mama tidak pernah berasa kekurangan.
"Hormat, kasih sayang dan cinta Aleesa menjadikan adik-adik juga rasa dihargai dalam kasih sayang yang tidak pernah berkurangan.
“Demikian hebatnya Aleesa yang dikirimkan oleh Tuhan.
“Mama melepaskan Aleesa. Mama gembira Aleesa bersatu dengan lelaki yang menyayangi, mengasihi dan bertanggungjawab.
“Zain adalah jawapan kepada masa depan Aleesa. Mama memberi sepenuh-penuhnya restu.
“Doa Mama, Aleesa akan menjadi isteri terbaik buat Zain. Aleesa mampu menjadi ibu yang baik buat anak-anak kalian nanti.
“Doa Mama buat Aleesa dan Zain tidak akan pernah terhenti. Akan selalu ada sehingga ke nafas akhir Mama,” katanya lagi.
Pada majlis itu, Wan Az Aleesa menerima mas kahwin sebanyak RM22.50 dan seutas gelang emas dengan lima hantaran dulang berbalas tujuh.
Malah, terdapat sesi simbolik pelepasan burung merpati dilakukan sejurus selesai majlis akad nikah.
Pasangan mempelai turut diraikan dalam majlis resepsi yang diadakan pada lokasi sama pada sebelah petang. -Media Hiburan