Puteri Sarah terjemah isi hati melalui lirik lagu 'Terus'

Media Hiburan
Mac 12, 2023 13:30 MYT
Sarah meluahkan secara jujur isi hatinya menerusi single pertama hasil tulisannya "Terus" yang dinyanyikan oleh Sarah Fazny. -Media Hiburan
KISAH pergolakan rumah tangga Puteri Sarah Liyana menjadi perhatian cukup meluas daripada netizen.
Terbaharu, Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, meluahkan secara jujur isi hatinya menerusi single pertama hasil tulisannya, "Terus" yang dinyanyikan oleh Sarah Fazny.
Menurut Sarah, lagu yang mana melodinya merupakan nukilan Faizal Ulwi itu menjadi simbolik untuk dirinya terus kuat menghadapi dugaan hidup.
“Lagu ini memang mengisahkan tentang apa yang terjadi kepada diri saya.. apa yang berlaku selama ini saya ceritakan dan diterjemah menjadi sebuah karya.
“Lagu 'Terus' memang mewakili isi hati saya. Saya gembira karya ini akhirnya dapat menemui pendengar.
“Setidaknya mereka yang di luar sana yang senasib dengan saya dapat bangkit dan meneruskan kembali hidup seperti dulu.
“Sehebat mana pun kemelut yang berlaku, jangan sesekali meratapi apa yang berlaku. Saya mahu mereka yang senasib dengan saya bangkit dan teruskan kehidupan,” katanya.
Lagu "Terus" dilancarkan pada Rabu bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.
Tekad meneruskan kehidupan bersama dua cahaya mata tersayang, Sarah berkata, sebagai seorang ibu, dia perlu terus kuat demi anak-anaknya.
“Saya mahu jalan terus dan tidak lagi mempedulikan apa sahaja kemelut yang berlaku. Sebagai wanita dan yang paling penting sebagai seorang ibu, saya harus terus kuat!”
“Saya harus bangkit daripada kesedihan dan meneruskan kehidupan.
"Bangkit bukan bermakna ingkar, tapi lebih kepada menyayangi diri sendiri dan tidak membiarkan diri dipijak,” katanya lagi.
Pada Selasa, pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof enggan menceraikan Sarah pada hari pertama sebutan kes permohonan penceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sehingga menyebabkan Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas meminta pasangan itu merujuk kepada Jawatankuasa Pendamai.
Untuk info, Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul membuat pendedahan di laman Instagram miliknya bahawa dia sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa Ira, pelakon Kazar Saisi. -Media Hiburan
#Syamsul Yusof #Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin #terus #Sarah Fazny
;