Puteri Sarah reda bercerai dengan Syamsul, harap tiada lagi persengketaan

Gempak
Jun 14, 2023 14:40 MYT
Puteri Sarah memberitahu meskipun hak jagaan anak diberikan sepenuhnya kepadanya, namun Syamsul boleh melawat pada bila-bila masa. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, reda apabila dia kini sah sudah bercerai dengan pengarah Syamsul Yusof di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur tengah hari tadi.
Puteri Sarah berharap hubungannya dengan Syamsul, 39, selepas ini baik dan tiada persengketaan.
"Alhamdulillah semua selesai. Semalam kami ada berjumpa dan sudah selesaikan semuanya dari A hingga Z (perkara yang melibatkan dua pihak).
"Harapan saya agar selepas ini tiada lagi persengketaan dan kita berbaik macam biasa. Macam kita dah berjanji," katanya kepada Gempak sebaik sahaja selesai prosiding pengesahan perceraian itu.
Ditanya momen ketika bersalaman buat kali terakhir dengan Syamsul, Puteri Sarah tersenyum.
"Biar saya seorang saja tahu," jawabnya ringkas.
Sementara itu, hak jagaan anak-anak sepenuhnya diberikan kepada Puteri Sarah.
Apabila ditanya mengenai hak penjagaan anak, Puteri Sarah memberitahu meskipun diberikan sepenuhnya kepada dia, namun tetap terbuka untuk membenarkan Syamsul melawat pada bila-bila masa.
"Hak penjagaan anak-anak dekat saya. Tapi Syamsul boleh jumpa tanpa halangan.
"Tiada jadual untuk Syamsul untuk berjumpa dengan anak-anak. Saya rasa tak perlulah," ujarnya.
Terdahulu sebelum melafazkan cerai itu, Puteri Sarah dan Syamsul dilihat bersalaman dan masing-masing kelihatan tenang.
Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka.
Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.
Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais.
Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini Puteri Sarah mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.
Kemudian pada 18 April lalu, pasangan itu sepatutnya merekodkan persetujuan penyelesaian yang dikatakan telah dicapai dalam satu pertemuan yang mana Syamsul juga akan melafazkan talak terhadap Puteri Sarah pada hari tarikh tersebut.
Bagaimanapun saman terhadap Ira Kazar dan pengurangan jumlah tuntutan nafkah anak antara yang menjadi penghalang kepada penceraian antara Puteri Sarah dan Syamsul.
Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4. - Gempak
#Puteri Sarah #Syamsul Yusof #reda bercerai #harapan selepas bercerai
;