Puteri Sarah fail tuntutan balas nusyuz terhadap Syamsul

Astro Awani
Mei 8, 2023 11:53 MYT
Pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memfailkan pembelaan nusyuz yang difailkan suaminya, Syamsul Yusof sebelum ini di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Gombak, hari ini. - Gambar fail
GOMBAK: Pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memfailkan pembelaan nusyuz yang difailkan suaminya, Syamsul Yusof sebelum ini.
Menurut peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah, tuntutan tersebut difailkan pada sebelah pagi sebelum prosiding bermula hari ini.
“Kita sudah memfailkan tuntutan pembelaan nusyuz yang difailkan Syamsul dan pada masa sama pihak kita juga (Puteri Sarah) turut memfailkan tuntutan balas iaitu nusyuz terhadap Syamsul,” kata peguam itu ketika ditemui selepas sebutan kes nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, hari ini.
Akberdin berkata, tuntutan nusyuz yang difailkan anak guamnya terhadap Syamsul antaranya adalah sikap tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun, kata beliau, terma-terma secara terperinci tidak boleh didedahkan.
Sebelum ini, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terbabit dengan alasan isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.
Selain itu, antara alasan dikemukakan terhadap tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.
Dalam masa sama, Akberdin tidak dapat memastikan kehadiran Puteri Sarah di sesi hari ini.
"Tak pasti sama ada Sarah datang atau tidak. Tapi, pihak kami sudah failkan pembelaan nusyuz," katanya.
Pada 6 April lalu, Puteri Sarah memberitahu wartawan, dia akan memfailkan pembelaan terhadap tuntutan nusyuz dibuat Syamsul yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, pada 21 Mac lalu.
Bagaimanapun, Syamsul juga pengarah terkenal berkata akan menarik semula semua tuntutan itu selepas berbincang dengan isteri pertamanya itu pada 10 April lalu.
Kenyataan berkenaan dibuat selepas Syamsul akhirnya bersetuju untuk melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah pada 18 April di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pada 18 April itu, perceraian tersebut tidak berlaku selepas pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu enggan melafazkan cerai pada tarikh dijadualkan.
Krisis rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah tercetus berikutan kehadiran Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon veteran Kazar dalam kehidupan pasangan itu.
Pada awal Januari lalu, Syamsul membuat pengakuan sudah menikahi Ira di Thailand.
#Syamsul Yusof #puteri sarah liyana #rumah tangga Syamsul - Puteri Sarah #Syamsul Yusof nikahi Ira Kazar
;