Puteri Sarah berlakon drama poligami, netizen sifatkan seakan kehidupan sebenar

Media Hiburan
Mac 25, 2023 12:00 MYT
Sarah memuat naik gambarnya bersama dua pelakon yang terlibat dalam drama berkenaan iaitu Daniella Sya dan Aida Khalida. -Instagram
DARI hari ke hari, rezeki pelakon Puteri Sarah Liyana semakin mencurah-curah dan terbaharu dia ditawarkan membintangi drama berjudul "Hijrah Jannah".
Menariknya, menerusi kapsyen yang ditulis Sarah, 38, di laman Instagram miliknya, ia memberikan gambaran drama itu bakal menampilkan plot tentang kehidupan poligami.
Sarah memuat naik gambarnya bersama dua pelakon yang terlibat dalam drama berkenaan iaitu Daniella Sya dan Aida Khalida.
“Isteri pertama, isteri kedua dan mak mentua,” tulis Sarah.
Rata-rata netizen menyifatkan drama terbaharu yang dibintanginya itu ada sedikit persamaan dengan kehidupan sebenarnya yang hidup bermadu.
Terdahulu pada 7 Mac lalu menerusi prosiding sebutan pertama kes permohonan penceraian, Syamsul enggan menceraikan Sarah kerana percaya masih ada sinar dalam hubungan mereka.
Susulan itu, hakim syarie telah memerintahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatan Kuasa Pendamai (JPK) dalam kes permohonan penceraian pasangan itu.
Untuk rekod, Syamsul dan Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul telah mendedahkan bahawa dirinya telah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand berwakil walikan bapanya, Kazar Saisi.
Sarah menerusi Instagram memohon agar Syamsul melepaskannya kerana tidak rela dimadukan. -Media Hiburan
#puteri sarah liyana #Ira Kazar #Syamsul Yusof #Hijrah Jannah
;