Puteri Sarah akan fail pembelaan nusyuz

Sinar Harian
April 6, 2023 12:21 MYT
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Khamis menetapkan 8 Mei depan untuk pelakon, Puteri Sarah memfailkan penyataan pembelaan terhadap permohonan nusyuz oleh suaminya, Syamsul Yusof. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Khamis menetapkan 8 Mei depan untuk pelakon, Puteri Sarah memfailkan penyataan pembelaan terhadap permohonan nusyuz oleh suaminya, Syamsul Yusof.
Semasa prosiding sebutan semula kes di hadapan Hakim Syarie, Maizatul Aliza Chee Din, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah selaku defendan berkata, pelakon Andai Itu Takdirnya tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.
Beliau berkata, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, memohon maaf kerana tidak dapat hadir untuk prosiding kes nusyuz ini.
"Anak guam akan pulang ke tanah air pada jam 11 pagi, jadi saya mohon dia dikecualikan kehadiran untuk prosiding ini.
"Kami juga mengesahkan telah menerima saman daripada Syamsul (plaintif) pada 24 Mac lalu," katanya.
Justeru, peguam syarie itu memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh lain bagi proses pemfailan penyataan pembelaan.
Menerusi perkongsian Puteri Sarah di media sosial, pelakon itu berada di Jakarta untuk urusan kerja.
Mendengar perkara itu, peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof tidak membantah permohonan berkenaan.
Pada 21 Mac lalu, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.
Dia mendakwa, Puteri Sarah sering menghubungi bekas kekasih yang berstatus suami orang, sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Pada 6 Januari lalu, pengarah filem Mat Kilau itu akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.
Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.
Isnin ini, pasangan itu dijangka hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur untuk prosiding sebutan kes bagi proses Jawatankuasa Pendamai (JKP). - Sinar Harian
#Syamsul Yusof #puteri sarah liyana #Syamsul Yusof nikahi Ira Kazar #kes cerai Syamsul Yusof - Puteri Sarah
;