Puteri Gunung Ledang The Musical ditangguhkan ke 2021
Madiha Abdullah
Jun 9, 2020 21:03 MYT
Jun 9, 2020 21:03 MYT
Pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM) yang sepatutnya bermula 3 Julai ini di Istana Budaya, telah ditangguhkan ke tahun hadapan.
Penangguhan musim keempat teater muzikal itu terpaksa dilakukan susulan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekaligus menyebabkan sesi latihan tidak dapat dijalankan.
"Kami ada memikirkan untuk mengadakan sesi latihan melalui Zoom, malah kami juga mempunyai idea untuk merakam koreografi tarian menerusi video bagi membolehkan ia dipelajari para pelakon.
"Tetapi kami masih perlu berlatih bersama secara fizikal sebelum naik ke pentas. Dengan hanya tinggal enam minggu sahaja lagi sebelum malam pembukaan, keadaan nampaknya masih tidak mengizinkan kami berbuat demikian," kata penerbit PGLTM, Puan Sri Tiara Jacquelina, menerusi satu kenyataan, pada Selasa.
Tiara memaklumkan, reka bentuk set dan kandungan digital serta kostum, prop dan keperluan teknikal sudah pun siap untuk digunakan.
"Saya faham jika peminat kecewa kerana saya juga begitu. Tetapi aspek kesihatan dan keselamatan perlu didahulukan buat masa ini," tambahnya.
PGLTM terbitan Enfiniti, sepatutnya dipentaskan dari 3 Julai hingga 3 Ogos 2020. Difahamkan, kira-kira 7,000 tiket sudah habis dijual.
Tarikh terbaharu pementasan itu akan diumumkan pada satu tarikh kelak, dan pemegang tiket akan dihubungi untuk dimaklumkan berkenaan pilihan yang boleh dibuat.
#Istana Budaya
#keselamatan
#kesihatan
#perintah kawalan pergerakan
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PGLTM
#PKP
#PKPB
#Puteri Gunung Ledang The Musical
#Tiara Jacquelina