Pukau penduduk China, Adinda bakal ikut jejak Shila Amzah?
Madiha Abdullah
Julai 9, 2016 15:43 MYT
Julai 9, 2016 15:43 MYT
JIKA suara yang merdu boleh menjadi penentu sejauh mana satu bakat seni boleh melangkah, maka suara yang satu ini tentu sekali tidak punya masalah untuk dibawa ke mana sahaja.
Dikenali sebagai Adinda Tasya Mansor, suara kanak-kanak berusia 11 tahun ini kini menjadi bualan masyarakat di China, selepas kemunculannya dalam program pencarian bakat baru di negara itu, Let's Sing, Kids.
Dia yang menyampaikan lagu berbahasa Mandarin berjudul Next Stop in the Future, menerima standing ovation bukan sahaja daripada penonton, malah berjaya mengagumkan para juri.
Kesemua juri pertandingan, Gary Chaw, Su Yunying, Jacky Xue Zhiqian, berebut mahukan Adinda sebagai protege mereka.
Namun anak kelahiran Taiping, Perak itu kemudiannya memilih Su sebagai mentor.
Netizen, khususnya di China, menganggap Adinda sebagai 'the next Shila Amzah', yang sebelum ini berjaya mengukir nama di negara itu menerusi pertandingan Asian Wave.
Adinda merupakan peserta Ceria Popstar tahun lalu, dan menamatkan pertandingan di tempat kelima.
Let's Sing, Kids memulakan siaran 2 Julai lalu di stesen televisyen paling popular di China, Hunan TV.