'Puas'single terbaharu dari Ramayan

Astro Awani
Julai 19, 2021 13:35 MYT
Menurut penyanyi dan pemain gitar kedua Ramayan, Shafie, beliau tertarik dengan lagi ini sejak ia pertama kali dimainkan oleh Naz di atas piano. - Gambar ihsan Luncai Emas Sdn Bhd
SELEPAS muncul dengan 'Lamunan Anak Bulan' lebih setahun yang lalu, Ramayan tampil dengan single kedua mereka berjudul 'Puas' yang dipetik daripada album pertama mereka Di Persiaran Cakrawala yang diterbitkan Januari lalu.
'Puas' merupakan satu-satunya lagu yang ditulis oleh bekas ahli Ramayan; Naz (pemain keyboard) dan Amin (gitaris) yang asalnya ditulis untuk projek sampingan mereka.
Menurut penyanyi dan pemain gitar kedua Ramayan, Shafie, dia tertarik dengan lagu ini sejak ia pertama kali dimainkan oleh Naz di atas piano.
"Saya terus tertarik dengan pilihan kordnya. Saya berjaya mendapatkan susunan kordnya daripada mereka dan apabila saya cuba meletakkan melodi nyanyian di atasnya, ia datang dengan begitu sahaja.
"Seolah-olah saya telah diberi ilham. Bukan sahaja melodi malah liriknya juga. Proses yang selalunya mengambil masa sehari untuk disiapkan selesai dalam masa beberapa jam sahaja,” kata Shafie atau Pi'e.
Bercerita lanjut, 'Puas' bagi Pi'e adalah cerita penyelasannya terhadap apa yang berlaku dalam hidupnya, kisah cinta dan hubungan dengan seorang teman.
“Waktu saya menulis lagu ini, saya sedang berada dalam situasi yang amat gelap dalam hidup saya. Dahulu saya percaya bahawa di mana sahaja ada cinta di situ ada Tuhan.
"Dan kepercayaan itu dirasai paling kuat apabila saya terjatuh cinta dengan seorang gadis. Malangnya, gadis itu telah dipunyai orang lain; sahabat akrab saya.
"Namun saya tetap berkeras dengan cinta itu, sehinggalah menyebabkan mereka berdua putus cinta. Saya pun merasa sangat menyesal dengan tingkah laku saya yang tidak mempunyai batas, maka tertulislah lagu ini;sebuah lagu penyesalan,” ceritanya.
Puas merupakan satu percubaan oleh Ramayan untuk memberi nafas baru kepada muzik rock Malaysia, terutamanya genre ‘rock jiwang’ yang sedang bertakhta dalam kalangan pendengar-pendengar massa.
Ramayan berpendapat bahawa bunyi rock yang sedang dibawa oleh kebanyakan artis hari ini kurang kualiti dan nilai kepuasannya dari segi kreativiti dan mesej yang disampaikan dalam lirik-liriknya.
Daripada segi instrumentasi dan muziknya pula Ramayan mengambil inspirasi daripada irama lagu-lagu balada 80an dan 90an seperti karya-karya Sudirman, Carefree, Kenny Remy Martin, Aman Shah dan yang serupa dengannya.
Puas telah dikeluarkan secara digital di bawah Luncai Emas pada bulan April yang lepas di semua platform streaming termasuk Spotify, JOOX, iTunes dan Deezer dan sebagai audio rasmi di YouTube.
#Ramayan #Puas #Di Persiaran Cakrawala #Lamunan Anak Bulan #Luncai Emas
;