Psy kembali dengan lagu baru bersama Snoop Dogg
Astro Awani
Jun 9, 2014 13:28 MYT
Jun 9, 2014 13:28 MYT
Penyanyi terkemuka Korea, Psy kembali dengan lagu terbaru dan kali ini beliau berduet dengan penyanyi Rap terkenal, Snoop Dogg.
Video klip lagu bertajuk ‘Hangover’ tersebut dimuatnaik ke laman media sosial YouTube pada Ahad dan setakat ini klip video tersebut mendapat tontonan hampir setengah juta.
Selepas kejayaan lagu ‘Gangnam Style’, Psy memberi nafas baru kepada lagu Hangover dengan memasukkan elemen Hip Hop.
Video tersebut menampilkan Psy berparti bersama Snoop Dogg sepanjang malam. Pada awal klip video menunjukkan Psy muntah ke dalam mangkuk tandas sambil ditepuk belakangnya oleh Snoop Doog yang sedang menari ketika itu.
Jalan cerita klip video itu menyaksikan pengalaman kedua-dua penyanyi tersebut menikmati kehidupan malam hari di Seoul. Terdapat satu ketika dimana penari wanita membuat tarian jenis ‘twerk’ dan seterusnya Psy dan Snoop Dogg berjalan di sekitar jalan raya Seoul bersama dua wanita yang mereka kenali di pusat karaoke.
Psy memuatnaik ‘Hangover’ di YouTube yang merupakan platform terbaik buat beliau setelah lagu ‘Gangnam Style’ menerima tontonan paling banyak di laman media sosial itu dengan tontonan lebih dua billion.
Psy atau nama sebenarnya Park Jae-Sang berkata, beliau dan Snoop Dogg menulis lagu tersebut menerusi usaha bersama dalam talian dan merakam video tersebut bersama-sama di Seoul selama 18 jam tanpa henti.
Menurut Psy, beliau pada mulanya menelefon Snoop Dogg untuk menyatakan hasrat berkolaborasi bersama.
“Beliau bertanya, ‘Apa tajuk lagu itu?’ Dan saya kata, ‘Hangover’, dan beliau berkata, ‘Saya akan turut serta,’” kata Psy.
Snoop Dogg berkata, beliau merasa ‘seperti saya berada dalam filem aksi’ dengan penggambaran yang dijalankan di Asia.
“Bagi saya, ia menakjubkan, kerana saya memang teringin untuk berlakon dalam filem yang mempunyai elemen seni mempertahankan diri,” kata Snoop Dogg.