Prosiding sulh: Noh harapkan penyelesaian terbaik, Mizz Nina diwakili suami

Gempak
Februari 5, 2024 11:20 MYT
Noh hadir ditemani dua kenalan dipercayai pengawal peribadinya. - Foto Gempak
PENYANYI Noh Salleh mendoakan penyelesaian yang baik berhubung prosiding sulh yang difailkan bekas isterinya, Mizz Nina bagi hak penjagaan anak angkat mereka, Musa.
“Insya-Allah, saya mendoakan penyelesaian yang baik,” katanya ringkas sebaik tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.
Noh atau nama penuhnya Muhammad Noh Salleh, 39, hadir ditemani dua kenalan dipercayai pengawal peribadinya.
Sementara itu, bekas isteri, Mizz Nina bagaimanapun tidak hadir ke prosiding berkenaan. Peguam yang mewakili Mizz Nina, Mahmud Abdul Jumaat berkata, aktivis kemanusiaan itu sebaliknya diwakili suaminya, Essam Muhammad.
Terdahulu, Nina mendakwa Noh membawa keluar anak angkatnya, Musa tanpa kebenaran dan pengetahuan pihaknya.
Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 44, mengakui perkara yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan itu memberikan kesan emosi kepadanya apatah lagi dia adalah ibu susuan kepada Musa dan tidak pernah berjauhan dengan Musa selama itu.
Nina sebelum ini mendakwa kejadian anaknya dibawa keluar dari rumah berlaku pada 19 Disember tahun lalu, ketika dia dalam penerbangan ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.
Nina kemudiannya mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan semula Musa.
Noh dalam kenyataan kepada media pula berkata, tiada langsung unsur penculikan seperti yang didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.
Vokalis kumpulan Hujan itu kemudian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dituntut ibu kandung Musa yang hanya mahu dikenali sebagai Athira.
Noh, 39, menerusi hantaran di Instagram (IG), berkata, dia juga akan mengikut beberapa tuntutan lain seperti menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini termasuk memadam gambar Musa di media sosial.
#mizz nina #Noh Salleh #prosiding sulh #hak penjagaan anak
;