#ProjekBuku dokumentasi muzik Malaysia diedar secara percuma

Muzaffar Mustapa
Disember 31, 2013 12:00 MYT
Akhirnya, #ProjekBuku yang menghimpunkan pengalaman dan pandangan individu muzik Malaysia dilancarkan kepada umum tepat pukul 12 tengahari tadi.
Idea untuk menerbitkan sebuah buku yang menghimpunkan 69 individu yang terlibat dalam muzik Malaysia dicetuskan oleh Adly Syairi Ramly pada 3 November 2011.
Menurut Adly, idea utama di sebalik projek tersebut adalah untuk mendokumenkan perjalanan dan pembangunan dunia muzik Malaysia dari perspektif penggerak seni dan mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang muzik.
“#ProjekBuku merupakan buku pertama yang mendokumentasikan kisah kepayahan dan perjalanan indah muzik Malaysia. Saya yakin dan sedar bahawa pengetahuan, pengalaman, pandangan dan cerita yang dikongsikan oleh para penulis boleh juga menjadi panduan kepada peminat muzik tempatan khususnya yang mahu berjinak-jinak dalam bidang ini.”
Tambahnya lagi, penulis yang terpilih telah terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam dunia muzik Malaysia selama lebih tiga tahun dan ada di antara mereka yang telah menceburi bidang tersebut sejak tahun 80an lagi.
Antaranya termasuk penyanyi Yuna, Liyana Fizi, Monoloque, penggubah lagu AG Coco, Altimet, Malique Ibrahim, wartawan Aidil Rusli, Joe Lee, penyampai radio Haniff Hamzah , penganjur acara majlis anugerah terkenal Jennifer Thompson dan ramai lagi.
#ProjekBuku bercerita mengenai pelbagai topik daripada cara menubuhkan sebuah band, menulis lagu, menggubah lagu, pemasaran, rakaman, bagaimana mendapatkan lagu disiarkan di radio, etika wawancara, penggunaan media sosial dan banyak lagi.
Setebal 434 halaman, #ProjekBuku boleh dimuat turun secara percuma di www.the-wknd.com mulai 12 tengahari.
##ProjekBuku #Buku #Malaysia #muat turun #muzik
;