Profesor universiti gesa semak kewarganegaraan Agnes Monica

Asyraf Roslan
November 28, 2019 15:07 MYT
Hikmahanto mempertikaikan kewarganegaraan Indonesia yang dimiliki oleh penyanyi yang popular dengan lagu Tiada Logika itu yang mengaku memiliki darah Jerman, Jepun dan Cina - Foto Instagram Agnes Monica/Hikmahanto
NAMPAKNYA kes Agnes Monica menjadi lebih hangat apabila seorang profesor undang-undang antarabangsa di Universitas Indonesia (UI), Hikmahanto Juwana, juga mengulas mengenai kenyataan Agnes.
Menurut Hikmahanto, Ketua Pengarah Imigresen harus memeriksa status kewarganegaraan Agnes Monica atau kini lebih dikenali sebagai Agnez Mo.
Beliau berkata, dalam Akta Kewarganegaraan, Indonesia mematuhi kewarganegaraan berdasarkan keturunan dan bukannya tempat kelahiran.
Oleh itu, beliau mempertikaikan kewarganegaraan Indonesia yang dimiliki oleh penyanyi yang popular dengan lagu Tiada Logika itu yang dalam sebuah wawancara di Amerika Syarikat mengaku memiliki darah Jerman, Jepun dan China.
"Jika ibu bapa Agnes bukan warganegara Indonesia, ada kemungkinan Agnes memperoleh warganegara Indonesia secara tidak sah," ujarnya.
Sekiranya itu berlaku, Ketua Ketua Pengarah Imigresen harus mengambil tindakan dengan menyemak visa yang dimiliki oleh Agnes, tegasnya.
Terdahulu, Agnes telah muncul dalam satu wawancara Build Series yang dikendalikan oleh Kevan Kenney di Amerika Syarikat.
Semasa wawancara tersebut, Agnes menyatakan bahawa dia "tidak memiliki darah Indonesia", ketika menjawab soalan tentang kepelbagaian latar etnik dan budaya negaranya.
Kenyataan tersebut telah membuatkan warganet Indonesia tidak senang duduk dan menyerang Agnes di laman sosial.
BACA: Fakta atau terlepas cakap? Pemimpin masyarakat Indonesia desak Agnes Monica mohon maaf
#Agnes Monica #Hikmahanto Juwana #Indonesia #Kerakyatan
;