PRN: Penyanyi Black Hanifah bantu kempen calon BN Sungai Air Tawar

Bernama
Ogos 3, 2023 17:16 MYT
Rizam (kiri) beramah mesra bersama Black Hanifah pada program santai anak muda ketika berkempen sempena PRN Selangor. - Foto BERNAMA
SABAK BERNAM: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi popular Hanifah Muhammad Hanafiah, atau lebih dikenali sebagai Black Hanifah, yang turun padang membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Datuk Rizam Ismail.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Aku Rindu Sayang Kamu, Sofea Jane dan Teman Pengganti serta turut berlakon dalam filem Longkai itu, dilihat mengiringi calon BN menyantuni penduduk di sekitar Sungai Air Tawar di sini.
Black Hanifah berkata beliau tampil membantu atas dasar sahabat yang telah lama dikenali selain yakin Rizam mampu membawa perubahan lebih baik kepada penduduk dan kawasan tersebut.
"Saya rasa bertanggungjawab untuk memberitahu penduduk di sini untuk memilih Datuk Rizam kerana sepanjang mengenalinya, saya tahu beliau seorang yang kuat bekerja dan komited dalam melaksanakan tugas yang dipikul," katanya ketika ditemui Bernama sebelum beraksi dalam perlawanan bola sepak persahabatan di padang Kampung Dato Hormat di sini.
Black Hanifah yang sebelum ini aktif melakukan aktiviti bersama Pemuda UMNO Pantai Dalam, Kuala Lumpur, berharap penduduk Sungai Air Tawar terus memilih Rizam bagi membolehkannya meneruskan kesinambungan khidmat yang dicurahkan dalam merencana pembangunan di kawasan itu.
Terdahulu, beliau menyertai sesi 'walkabout' bersama Rizam di pasar tani Kampung Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar, sambil memperkenalkan sahabatnya itu kepada pengunjung dan peniaga di situ.
Pada hari pengundian 12 Ogos ini, Rizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam dan penyandang kerusi itu sejak 2018, akan bersaing dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Zaidi Selamat.
-- BERNAMA
#penyanyi #Black Hanifah #PRN Selangor #Calon BN #DUN Sungai Air Tawar
;