Primeworks Studios mohon maaf kepada Watson Nyambek

Astro Awani
April 23, 2017 20:39 MYT
Watson yang juga bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter, sebelum ini berang apabila sebuah rancangan di stesen televisyen itu menyamakan bapanya yang meninggal dunia tiga tahun lalu dengan binatang. Gambar fail
Primeworks Studio Sdn Bhd (PWS) mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada bekas pelari pecut negara Watson Nyambek, susulan kenyataan berbaur hinaan yang dikeluarkan dalam satu rancangan terbitan mereka pada Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif PWS Datuk Ahmad Izham Omar berkata, pihak syarikat sudah memberi peringatan kepada semua yang terlibat agar sentiasa peka dan sensitif dalam setiap rancangan yang diterbitkan.
"Saya mewakili Primeworks Studios Sdn Bhd, syarikat penerbit rancangan Sukan Tak Sentral bagi pihak TV3 dan TV9 dengan rendah diri memohon maaf kepada Watson Nyambek gara-gara mempersenda nama baik ayah beliau," katanya menerusi satu kenyataan media.
Katanya, pihaknya juga akan membuat kajian semula terhadap kaedah serta kerja operasi bagi mengelak kejadian serupa berulang.
"Kejadian ini memberi pengajaran kepada pihak kami untuk lebih peka keadaan sekeliling," tambahnya.
Izham berkata, pihaknya sangat menghormati Watson, bapanya dan seluruh ahli keluarganya.
"Watson adalah seorang pelari pecut negara serta atlet yang banyak berjasa dan mengharumkan nama negara.
"Pihak kami dengan rendah diri memohon maaf di atas kesilapan kami dan memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang lagi," katanya.
Watson yang juga bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter, sebelum ini berang apabila sebuah rancangan di stesen televisyen itu menyamakan bapanya yang meninggal dunia tiga tahun lalu dengan binatang.
#bapa #komedi #televisyen #Watson Nyambek
;