Prihatin isu alam sekitar, Maya Karin dilantik sebagai duta River of Life
Sahlizah Mohamed
Januari 31, 2019 16:10 MYT
Januari 31, 2019 16:10 MYT
Aktres popular, Maya Karin menyifatkan pelantikannya sebagai duta ikon River of Life (ROL) bukan sesuatu yang suka-suka dengan hanya bersandarkan kepada paras rupa yang cantik semata-mata.
Sebaliknya pelakon filem Munafik 2 itu menerima tanggungjawab berkenaan untuk mengajak masyarakat bersama-sama memelihara dan menjaga sungai-sungai daripada diperlakukan seperti tong sampah.
“Kita perlu menghargai sungai-sungai kita. Sungai bukan tong sampah, sungai adalah sungai dan tong sampah adalah tong sampah.
“Jangan satukan dua perkara ini. Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai masyarakat untuk memahami usaha oleh kakitangan awam dalam menjaga kebersihan sungai,” katanya yang dikenali umum sering memperjuangkan isu alam sekitar.
Maya baru-baru ini dilantik selaku duta ROL oleh Kementerian Wilayah Persekutuan selama setahun bermula bulan ini.
Pelakon berusia 40 tahun itu melahirkan rasa terharu apabila kerja-kerja amal dilakukan dalam usaha menjaga alam sekitar diiktiraf oleh banyak pihak terutamanya pihak kementerian.
“Kami (saya dan pihak kementerian) banyak berbincang pendekatan tentang pendekatan dan taktik yang boleh diambil demi memelihara kebersihan sungai.
“Projek ROL ini sudah siap hampir 80 peratus, tetapi kesedaran awam masih terlalu kurang. Kerajaan membelanjakan RM500,000 sebulan untuk menjaga kebersihan sungai dengan perbelanjaan RM6 juta setahun.
“Dan kalau kesedaran awam masih tidak meningkat, usaha-usaha ini akan menjadi kerja yang sia-sia,” katanya.
Sementara itu, memetik artikel daripada akhbar Wilayahku, Timbalan Setiausaha Bahagian (Pemantauan dan Projek Khas) Bahagian Pengurusan Pembangunan kementerian, Rosidawati Abdul Rashid berkata, Maya Karin merupakan pilihan yang tepat untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Melalui sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh Maya Karin, saya percaya mesej penjagaan alam sekitar dapat disampaikan kepada masyarakat,” ujarnya.
Hadir sama Setiausaha Sulit Kanan Menteri Wilayah Persekutuan, Zulkefli Nani.
#duta
#jaga sungai
#Kementerian Wilayah Persekutuan
#Maya Karin
#Munafik 2
#pelakon
#river of life
#sungai bersih