PPFIM mempertahankan kempen 'Switch Off 14'

T K Letchumy Tamboo
Oktober 18, 2014 11:09 MYT
PPFIM telah meminta sokongan daripada para penggiat industri perfileman demi memperkukuhkan industri filem, televisyen dan kandungan.
Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) telah meminta sokongan daripada para penggiat industri perfileman demi memperkukuhkan industri filem, televisyen dan kandungan.
Risau mengenai standard industri itu yang dikatakan semakin lama semakin merudum, presiden PPFIM, Khoo Kay Lye berkata industri pengiklanan turut mengalami penurunan perbelanjaan yang drastik dari RM200 juta pada tahun 1999 kepada RM30 juta pada tahun 2012.
“Kalau ini bukan sesuatu yang perlu dirisaukan, apa lagi? Persoalan penting di sini adalah - mengapa ia berlaku dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbetulkan keadaan ini?” tanyanya di dalam satu kenyataan.
Khoo berkata demikian ekoran beberapa kritikan yang diterima mengenai kempen “Switch Off 14”, inisiatif lebih 10 organisasi termasuk PPFIM, yang inginkan peraturan-peraturan yang lebih baik yang akan melindungi kepentingan ahli-ahlinya.
Khoo berkata beberapa pihak turut melabelkan kempen itu sebagai ‘cetek’.
“Ada mereka yang tidak dibayar pada masa yang tepat; terpaksa bekerja lebih masa tanpa pampasan; dalam sesetengah keadaan, tidak dibayar langsung; kemerosotan yang jelas tentang standard kreatif dan profesional, kami ingin bertanya siapa sebenarnya yang ‘cetek’?
"Setelah berada di dalam industri selama lebih 20 tahun, saya telah melihat hari-hari yang lebih baik (berbanding hari ini) di mana penggiat industri filem, televisyen dan kandungan negara kita dipandang tinggi di rantau ini.
“Malangnya, saya tidak akan memberi dorongan kepada mana-mana pembikin filem muda yang meletakkan harapan untuk menyertai industri kita hari ini," katanya.
Khoo berkata industri itu kini berhadapan realiti yang pahit dan tindakan segera perlu diambil, termasuk sokongan dari pihak kerajaan.
Sebelum ini Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata beliau tidak menyokong kempen 'Switch Off 14’.
“Nampaknya mereka (penggiat yang terlibat) ingin mensensasikan sesebuah perkara untuk mendapat perhatian tanpa memikirkan kesan dan imej negatif yang dibawa kepada semua penggiat filem.
"Saya berharap penggiat filem tempatan tidak menyokong usaha negatif berkenaan yang tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada industri hiburan.
"Sebaliknya ia menunjukkan betapa ceteknya pemikiran beberapa pemimpin dalam industri yang tidak mampu menyelesaikan masalah industri dengan cara profesional,” katanya seperti dipetik dari mStar Online.
Kempen ‘Switch Off 14’ yang diketuai oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) akan menyerahkan memorandum pada 11 Nov ini bagi menuntut 11 perkara, kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
#Freddie Fernandez #penggiat industri #PPFIM
;