Poster vintaj Mickey Mouse dilelong dengan bidaan bermula RM130,000
Nursyazwani Saiful Sham
November 18, 2018 09:00 MYT
November 18, 2018 09:00 MYT
BAGI peminat watak kartun popular Mickey Mouse, anda mungkin tidak mahu melepaskan peluang untuk memiliki poster vintaj yang dihasilkan sejak tahun 1930.
Sebanyak tujuh poster kartun tersebut yang jarang ditemui kini sedang dilelong sempena ulang tahun kartun itu yang ke-90.
Ketujuh-tujuh poster tersebut kini dipamerkan dalam sebuah pameran peringatan yang dianjurkan oleh Disney di London.
Apa yang lebih menarik, lelongan kesemua poster tersebut dijangka akan mengutip sebanyak AS$165,000 (RM690,000) secara keseluruhannya.
Setiap satu poster tersebut akan dilelongkan dengan bidaan yang bermula pada harga RM130,000.
“Kesemua poster tersebut adalah yang jarang ditemui dari England, Perancis dan Belgium. Tujuh poster tersebut adalah antara yang masih dalam bentuk yang asli.
“Ini kerana beberapa poster terdahulu pernah digunakan sebagai poster di panggung wayang, justeru ada poster yang tidak dalam keadaan baik dan tidak dapat digunakan,” katanya.