Polis rekod keterangan Farid Kamil isu suapan RM5 juta

Bernama
November 26, 2018 18:36 MYT
Farid Kamil memberi keterangan di bilik saksi selama 30 minit sebelum dilepaskan. - BERNAMA/Fail
Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari hari ini memberi keterangan berhubung laporan polis mengaitkannya dengan dakwaan pernah disogok wang RM5 juta oleh kerajaan terdahulu, di Kompleks Mahkamah di sini.
Farid Kamil, 37, memberikan keterangannya di bilik saksi dan keterangannya direkodkan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Dia memberi keterangan itu selepas prosiding kesnya selesai di Mahkamah Majistret di sini.
Menurut peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil, anak guamnya itu memberikan keterangan di bilik saksi itu selama 30 minit sebelum dilepaskan oleh pegawai berkenaan.
"Dia dijangka menyambung keterangannya di IPD Petaling Jaya esok selepas sebutan semula kes bagi lima pertuduhan jenayah dihadapinya esok di mahkamah ini selesai," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Majistret Salamiah Salleh menetapkan 19, 20, 25 dan 26 Feb 2019 untuk perbicaraan kes Farid Kamil yang didakwa membuat laporan polis palsu berhubung dakwaan dianiaya tiga rakan artis yang memasukkan dadah dalam minumannya.
Bernama sebelum ini melaporkan pihak polis akan memanggil pelakon filem J. Revolusi itu berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya berkenaan dakwaan cubaan dirasuah RM5 juta oleh kerajaan terdahulu.
BACA: Lokman Adam buat laporan polis terhadap Farid Kamil
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat, ketika mengesahkan perkara itu berkata, laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Kota Damansara pada 6 petang, 8 Nov lalu, oleh seorang lelaki berusia 43 tahun yang mewakili Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.
Dalam laporan polis itu, pengadu mendakwa telah melihat satu video di YouTube, yang Farid Kamil memberitahu dia cuba dirasuah RM5 juta oleh kerajaan terdahulu bagi memaafkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
"Pengadu mendakwa Farid Kamil sengaja reka cerita untuk menjatuhkan imej Najib dan Rosmah dan mendakwa jika betul berlaku, kenapa Farid Kamil tidak membuat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya dalam sidang media.
Sehubungan itu, beliau berkata pelakon dan pengarah tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memfitnah.
Dalam video yang dimuat naik dalam YouTube MyFokus Online pada 7 Nov lepas, Farid Kamil dalam program terbitan TV Al-Hijrah berjudul "Nak jadi artis ke nak jadi ahli politik?" mendakwa beliau cuba dirasuah sebanyak RM5 juta oleh pihak kerajaan terdahulu untuk memaafkan Najib dan Rosmah. -- Bernama
#Farid Kamil #Lokman Adam #Rasuah
;