Polis India tahan suspek serang Saif Ali Khan
Bernama
Januari 19, 2025 06:30 MYT
Januari 19, 2025 06:30 MYT
NEW DELHI: Selepas hampir tiga hari pemburuan, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun pada Ahad yang disyaki menikam bintang terkenal Bollywood, Saif Ali Khan, di ibu kota kewangan India, Mumbai, lapor Xinhua.
Suspek, yang dipercayai warganegara Bangladesh, ditahan di bandar Thane yang bersempadan dengan Mumbai.
Polis memberitahu media, suspek telah memasuki India secara haram dan menukar namanya kepada nama orang tempatan.
Polis memaklumkan, suspek menyerang Khan dengan pisau selepas menceroboh kediamannya di kawasan mewah Bandra awal pagi Khamis.
Khan mengalami beberapa tikaman, termasuk satu luka dalam berhampiran tulang belakangnya. Seorang kakitangan wanita di rumah Khan turut cedera dalam serangan itu.
Selepas serangan, Khan mendapatkan rawatan di hospital dan doktor menjalankan pembedahan ke atasnya. Beliau kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang beransur pulih.
Sementara itu, mahkamah tempatan pada Ahad mengarahkan suspek direman dalam tahanan polis selama lima hari.
Polis memaklumkan kepada mahkamah siasatan lanjut diperlukan untuk mengenal pasti motif serangan.
Pelakon Bollywood berusia 54 tahun itu terkenal dengan pelbagai anugerah yang dimenanginya menerusi filem-filem Hindi dan pernah menerima anugerah Padma Shri, iaitu anugerah awam keempat tertinggi India, pada 2010.
Khan bernikah dengan pelakon terkenal, Kareena Kapoor.
Serangan itu mengejutkan seluruh negara, terutamanya industri filem, serta menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan langkah keselamatan di Mumbai yang menjadi tumpuan kebanyakan pelakon Bollywood. - BERNAMA