"Police Story 2013 cerminan sebenar diri saya sebagai bapa" - Jackie Chan
Astro Awani
Disember 18, 2013 18:09 MYT
Disember 18, 2013 18:09 MYT
Jackie Chan menyifatkan filem "Police Story 2013" umpama cerminan sebenar dirinya sebagai seorang bapa.
Komitmen pada kerjaya selama ini membuatkan anaknya, Jaycee Chan pernah rasa diabaikan.
Menurut bintang aksi legenda ini, kesibukannya menimbulkan salah tanggapan anaknya.
"Anak saya memikirkan saya pergi berfoya-foya sedangkan sebenarnya saya sedang bekerja keras menjalani penggambaran untuk mencari pendapatan dan menghantarnya belajar ke Amerika Syarikat," ujar Chan yang berada di Kuala Lumpur untuk mempromosikan filem tersebut.
Chan turut meluahkan hasrat untuk mencuba genre filem berlainan namun masih belum mendapat peluang sehingga kini.
"Saya mahu menjayakan filem cinta atau drama penuh emosi tetapi tiada siapa ingin menawarkan peranan seperti itu kepada saya." kata pelakon berusia 59 tahun ini.
Walaupun menyokong kemajuan teknologi dalam penghasilan kesan khas, Chan masih percaya kepada lagak aksi sebenar ketika pembikinan sesebuah filem.
"Saya bertuah kerana peminat masih mahu menyaksikan aksi lagak ngeri sebenar di sebalik kecanggihan teknologi masa kini dan ia mendorong saya untuk terus beraksi,” katanya.
Chan juga mengharapkan setiap karyanya akan menjadi legasi buat tatapan generasi akan datang, menyebabkan dia belum memikirkan untuk bersara.
"Saya pernah mengatakan CZ12 adalah filem aksi terbesar yang terakhir saya jayakan kerana saya merasakan mungkin saya akan menghabiskan masa di kerusi roda.
“Namun ia tidak berlaku. Terlalu sukar untuk saya tinggalkan apa yang saya cintai tetapi suatu hari nanti ia pasti akan berlaku", tegasnya.
Filem "Police Story 2013" bakal ditayangkan di Malaysia mulai 24 Disember ini.