PM beri sumbangan kepada Azlee Senario
Astro Awani
Jun 11, 2024 18:17 MYT
Jun 11, 2024 18:17 MYT
KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan pelawak dan pelakon Azlee Jaafar, sebelum ini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) mendapat perhatian Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri dalam kenyataan di laman Facebook berkata, setiausaha politiknya, Farhan Fauzi telah mewakilinya bagi menyampaikan sumbangan kepada ahi kumpulan Senario itu.
Jelas Anwar, sumbangan tersebut diberikan bagi meringankan beban Azlee dan keluarganya.
"Alhamdulillah beliau telah dibenarkan pulang dan kesihatannya bertambah baik," kata Anwar dalam kemas kini tersebut, hari ini.
Dalam masa sama, beliau mendoakan agar pelawak berusia 56 tahun itu diberikan kesihatan yang baik untuk terus berkarya dalam industri seni.
Pada 6 Jun lalu, Astro AWANI melaporkan Azlee dikejarkan dari Hospital Sungai Buloh ke IJN selepas rebah dan tidak sedarkan diri di kediamannya.
Difahamkan, kesihatannya semakin stabil selepas melakukan prosedur peletakan sten.