PKP: Bosan di rumah? Jom "Learn Korean with BTS" mulai 24 Mac ini!
Isabelle Leong
Mac 23, 2020 11:20 MYT
Mac 23, 2020 11:20 MYT
PEJAM CELIK-PEJAM CELIK, hari ini (23 Mac) sudah memasuki hari keenam sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Rakyat Malaysia memerah otak, memikirkan aktiviti yang menarik untuk dilakukan sepanjang tempoh ini bagi mengelakkan kebosanan.
Pastinya ada yang mengambil peluang “duduk rumah” ini untuk mencuba hobi baharu.
Ada yang tidak ketinggalan untuk menonjolkan bakat dalam membancuh Dalgona Coffee, dan ada juga yang ingin belajar bahasa yang baharu.
Jika anda berhasrat untuk belajar bahasa yang baharu terutamanya Bahasa Korea, ini berita baik buat anda!
Mulai esok (24 Mac), kumpulan sensasi Korea Selatan, BTS akan mengeluarkan video berdurasi pendek untuk membantu para peminatnya mempelajari bahasa Korea.
Menerusi “Learn Korean with BTS”, video tersebut akan menggunakan rakaman sedia ada daripada rancangan “Run BTS!” dan kandungan dalam talian seperti klip “Bangtan Bomb” dan “BTS Episode” untuk mengajar peminatnya perkataan dan frasa dalam Bahasa Korea yang kerap digunakan oleh septet tersebut.
Agensi BTS, Big Hit Entertainment berkata mereka berancang untuk membawakan lebih banyak kandungan berasaskan pendidikan dan akan melibatkan kumpulan di bawah naungan syarikat tersebut seperti Tomorrow X Together (TXT), GFriend dan ramai lagi.
Menurut Big Hit lagi, “Learn Korean with BTS” dibangunkan dengan bantuan penyelidik daripada Korea Language Contents Institute (KOLCI) dan professor dari Hankuk University of Foreign Studies.
“Dengan populariti K-Pop dan budaya Korea yang lain, pembelajaran Bahasa Korea semakin mendapat sambutan.
“Kami sedang merancang kandungan berasaskan pendidikan Bahasa Korea untuk memudahkan aksesibiliti kami.
“Kami berharap menerusi pembelajaran bahasa ini, peminat dari serata dari serata dunia boleh memahami musik artis dan menikmati pelbagai kandungan,” kata Big Hit dalam satu kenyataan.
Tiga episod pertama akan dikeluarkan secara percuma menerusi aplikasi komuniti peminat Big Hit, Weverse mulai 24 Mac pada 1 petang waktu Malaysia.
Selepas itu, satu episode akan dimuat naik setiap Isnin pada 8 malam waktu Malaysia.
Buat masa ini, Big Hit Entertainment mempunyai perancangan untuk mengeluarkan sejumlah 30 episod.
Setiap video yang berdurasi sekitar tiga minit akan memberikan kelas ringkas dalam penggunaan frasa dan tatabahasa Korea.
Walaupun impian untuk mendapatkan BTS sebagai “seonsaengnim” anda kekal impian, usah putus asa.
Anda masih berpeluang untuk merapatkan jurang dengan idola kegemaran anda dengan menonton “Learn Korean with BTS” mulai esok!
#Bahasa Korea
#Big Hit Entertainment
#BTS
#COVID-19
#GFriend
#KOLCI
#Korea Language Contents Institute
#Korea Selatan
#koronavirus
#Learn Korean with BTS
#perintah kawalan pergerakan
#Tomorrow X Together
#TXT