Pitahati kembali ke piring hitam untuk album terbaharu
Irwan Muhammad Zain
Februari 24, 2016 18:00 MYT
Februari 24, 2016 18:00 MYT
Selepas 'Fonetik Anak Candal', lima anak muda yang bergabung dengan nama Pitahati meluncurkan album terbaru mereka dengan judul 'Selamat Datang Ke Panggung Suara'.
'Selamat Datang Ke Panggung Suara' dirakamkan secara live dan mengambil masa lebih kurang setahun untuk disiapkan, kata penyanyi Pitahati, Ilham.
Album ini tidak dirakam di dalam studio sebaliknya di dalam sebuah bilik yang diubah suai untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan. Ia juga dirakam secara digital dan juga analog.
"Rakaman dibuat dalam ruang bukan studio, dalam satu bilik kosong yang kita buat sendiri, dibuat seperti studio tapi bukan studio.
"Selain merakam alat muzik, kami juga mahu merakam suara ruang dan momen proses rakaman itu," kata Ilham kepada Astro AWANI.
Selain Ilham, Pitahati turut dianggotai oleh Masrin (bass), Zahar (gitar), Yasin (dram) dan Hidayat (gitar).
Ditanya keistimewaan album ini, Ilham menjelaskan, "Keistimewaannya mungkin dalam proses rakaman dan medium yang kami terbitkan yakni piring hitam."
Bercerita lanjut, 'Selamat Datang Ke Panggung Suara' dihasilkan selepas Pitahati diberi tanggungjawab untuk menghasilkan musik untuk filem Terbaik Dari Langit arahan Nik Amir.
"Dari peristiwa inilah, (diberi peluang menghasilkan muzik untuk Terbaik Dari Langit dan lagu Sahabat untuk filem itu) tercetus usaha menghasilkan lagu-lagu dalam album ini," ujarnya.
Album ini diterbitkan oleh Luncai Emas dan boleh didapati menerusi iTunes Mac nanti manakala piring hitam pula dijual pada harga RM130 di kedai-kedai yang telah dipilih tidak lama lagi.