Pilih calon paling layak, berpengalaman luas untuk pacu Finas

Gempak
Julai 26, 2018 07:33 MYT
Siapakah yang layak untuk memacu Finas ke peringkat yang lebih baik dan efisien demi masa depan industri? - Gempak
Ramai dalam kalangan pengamal industri mencongak siapa bakal calon yang layak sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) selepas beberapa nama disebut-sebut.
Bagaimanapun, pengarah drama yang juga Biro Pembangunan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Hashim meletakkan kepercayaan kepada Zaki Abdul Rahim sebagai calon yang paling layak berdasarkan latar belakang pendidikan dan pengalaman individu tersebut sebagai pengamal industri.
"Calon itu tidak boleh hanya pakar dalam satu bidang saja seperti pengarahan, animasi atau lakonan tetapi banyak aspek lain dia perlu tahu," katanya kepada Astro Gempak.
Tambahnya, apa yang paling penting adalah pengerusi Finas tidak mempunyai kepentingan dalam industri seperti mempunyai produksi sendiri untuk menerbitkan filem.
"Sejujurnya, saya melihat Zaki lebih layak berbanding calon lain yang diperkatakan jika mengambil kira semua aspek pengalaman, pengetahuan dan latar belakangnya sebagai orang industri yang sering mengikuti perkembangan isu-isu seni," katanya.
Akuinya, ia adalah suatu yang sukar buat seseorang calon yang kurang pengalaman dalam bidang seni diberi tanggungjawab besar untuk memacu industri seni menerusi Finas.
"Tugas Pengerusi Finas sepatutnya menjadi pemerhati pada orang-orang industri agar semua terpelihara. Maksudnya, kewajipan Finas dan keadilan sama rata dapat dirasai semua pihak dalam industri tanpa bersikap bias," katanya.
Baginya, isu pemberian dana yang didedahkan sebelum ini antara perkara yang perlu diberi perhatian serius dalam mengagihkannya secara sama rata dan menjadi tanggungjawab Pengerusi Finas untuk memantau perkara ini.
Zaki adalah pensyarah sambilan filem dan penyiaran berpengalaman yang juga fasilitator bengkel latihan berkaitan industri kreatif.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam industri termasuk Finas sejak 20 tahun lalu sebagai tenaga pengajar bengkel skrip, dokumentari dan produksi sebelum menjadi panel Skim Pinjaman Filem Cereka dan kini masih akif sebagai panel pemberian Dana Finas.
Sebelum ini, beberapa nama penggiat seni disebut sebagai calon antaranya Datuk Yusof Haslam, Dr Ahmad Ibrahim (Mat London), Hassan Abd Muthalib dan pelakon Sharifah Amani.
#calon #filem nasional #FINAS #industri hiburan #pengerusi #Seni
;