Pesanan abah buat Muhammad Bilal

Gempak
Februari 5, 2022 20:25 MYT
Rumah tangga Neelofa dan PU Riz kini tambah ceria dengan kehadiran cahaya mata sulung mereka, Muhammad Bilal yang lahir pada 29 Januari lalu.
PENDAKWAH bebas dan pelakon, Haris Ismail atau PU Riz meluahkan rasa syukur dengan kehadiran putera sulungnya yang diberi nama Muhammad Bilal.
Menggelarkan dirinya sebagai ‘abah’, PU Riz menitipkan pesanan dan nukilan istimewa buat anaknya moga menjadi anak yang soleh.
“Alhamdulillah, Allah SWT berikan nikmat. Anak ini adalah aset ke syurga, dengan syarat umi abah mencoraknya dengan mentaati perintah Allah.
“Semoga nanti Bilal boleh baca, tidak ada apa yang abah harapkan dari adik, kecuali adik menjadi anak yang soleh.
“Semoga Allah takdirkan anak abah ini dalam kalangan para solehin lebih baik dari abah, Insya-Allah,” katanya.
Suami kepada selebriti Neelofa itu berkongsi nukilan khas buat anaknya itu di akaun Instagram miliknya.
Dalam perkongsian yang sama PU Riz berharap anaknya menjadi insan yang taat pada perintah Allah serta berbuat baik kepada ibu bapa.
“Kasihani abah umi seperti mana abah umi kasih pada mu. Reda Allah ada pada reda ibu bapa dan kemarahan Allah pada keduanya jua. Manakah amalan yang paling afdal? Kata Nabi solat pada awal waktu, solat pada waktunya.
“Kemudian apa? Berbuat baik kepada ibu abah. Alhamdullillah Allah hadirkan Insya-Allah aset ke syurga doa anak yang soleh tu yang dicari. Sehinggakan disebut oleh Nabi sebagai satu amalan yang tak putus. Semoga anak abah jadi orang yang baik Insya-Allah
“Baru aku tahu macam mana umi abahku sayang padaku. Terima kasih Allah atas peluang ini. Dah jadi bapa pula sekarang. Cepat dunia berlalu,” katanya.
Pasangan ini menimang cahaya mata pertama pada 29 Januari lalu selepas mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021.
Artikel asal di Gempak boleh dibaca di sini
#Neelofa #PU Riz #Muhammad Bilal #Neelofa timang anak lelaki
;