Pesakit mental ada kelebihan, gunakan di saluran yang betul - Sharifah Sakinah
Madiha Abdullah
Oktober 24, 2021 15:00 MYT
Oktober 24, 2021 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Sakinah berharap mereka yang menghidap penyakit berkaitan mental agar cuba memfokuskan tenaga dan bakat yang dimiliki ke saluran yang betul.
Dia yang menghidap attention deficit hyperactivity disorder atau ADHD, meluahkan keyakinan bahawa setiap individu, termasuk mereka yang mengalami masalah mental, mempunyai kelebihan tersendiri.
Menyalurkan kebolehan di tempat yang betul dan bersesuaian membantu pesakit untuk fokus, sekali gus membawa mereka ke tahap prestasi terbaik.
"ADHD contohnya, mereka ini ada yang mungkin hyper dari segi tingkah laku, tetapi tidak semua. Ada sebahagian yang fikirannya hyper, suka berangan sampai ke tahap boleh habiskan masa berjam-jam di satu lokasi.
"Tetapi di satu segi yang lain, penghidap ADHD sangat passionate. Apabila mereka melakukan sesuatu yang mereka betul-betul minat, mereka benar-benar fokus.
"Mungkin dalam dunia normal, saya ada disability tetapi saya ada kelebihan, contohnya saya boleh layan peserta yang masuk program yang saya jalankan, kadang-kadang sampai pukul 4 pagi pun masih berkomunikasi untuk mengetahui perkembangan peserta.
"Gunakan kelebihan itu untuk sesuatu yang mendatangkan kebaikan. Kalau suka perhatian, cari satu cara yang positif untuk dapatkan perhatian orang.
"Apa yang saya lakukan, saya bantu orang untuk dapatkan bentuk dan berat badan yang diinginkan. Jadi saya dapat perhatian mereka, tetapi perhatian itu datang secara positif," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ujar Sakinah, persepsi masyarakat yang cenderung ke arah negatif menjadi penghalang utama bagi pesakit untuk meneruskan hidup dengan cara yang diingini mereka.
"Memang lumrah, masyarakat akan menghakimi tanpa memahami. Bukan di Malaysia sahaja, di Barat begitu juga, tidak ramai yang mahu memahami situasi yang dilalui kami.
"Pesakit mental ini, kalau kita lihat luarannya, macam tak sakit. Jadi itu salah satu faktor kenapa orang ramai rasa lebih mudah untuk bercakap dan judge, betulkah dia sakit, sebab nampak dia sihat.
"Apa sahaja situasi pesakit, jangan menghakimi mereka. Mungkin kita rasa ada yang sengaja buat cerita, kononnya ada penyakit mental tetapi sebenarnya hanya nakkan perhatian.
"Tak boleh begitu. Betul atau tidak, itu antara mereka dan Tuhan. Tanggungjawab kita adalah mendengar. Kalau diminta beri cadangan, boleh beri tetapi kalau tidak, cukup sekadar mendengar. Mereka mahu bercerita, itu sudah cukup baik.
"Mungkin itu sahaja cara mereka untuk lepaskan tekanan perasaan. Sebagai orang luar, peranan kita untuk mendengar, itu sahaja," tambahnya.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini juga meminta media memainkan peranan dengan betul dan tidak sewenang-wenangnya memberi gambaran tentang pesakit mental mengikut imaginasi sendiri.
"Dalam drama, kita nampak macam mana pesakit mental digambarkan. Tak siuman, malah ada yang jadikan watak pesakit mental itu sebagai satu bahan jenaka.
"Sebenarnya kita yang tak faham. Kalau kita pergi Hospital Bahagia pun, kalau kita ajak pesakit di sana berbual dengan cara yang betul, kita akan tahu yang mereka ini ada kelebihan yang orang lain tak ada," tegasnya.
Sakinah sebelum ini mendedahkan dia disahkan doktor menghidap ADHD dan mengakui berjumpa dengan ramai pakar perubatan sebelum memperolehi diagnos yang tepat.
"Jangan takut untuk berjumpa pakar. Hal berkaitan mental ini, ada masa kena dapatkan pendapat bukan seorang dua tetapi ramai.
"Saya sendiri jumpa lima orang doktor. Proses itu memang akan ambil masa yang lama tapi tidak mengapa kerana saya berusaha dapatkan bantuan pakar," katanya.