Pertikai keputusan GV6? Tiada peraturan tetapkan hanya seorang juara - Tok Ram

Hasimi Muhamad
Disember 22, 2019 07:58 MYT
Ramli MS mengulangi pendirian Naqiu dan Hady mempunyai kekuatan sama. -Foto Astro
Ketua juri Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Datuk Ramli MS menegaskan keputusan sesebuah pertandingan tidak terikat kepada mana-mana peraturan bahawa hanya seorang sahaja yang layak bergelar juara.
Ia sekali gus menepis perdebatan dalam kalangan segelintir pihak mengenai keputusan konsert akhir program realiti nyanyian itu malam tadi yang telah menobatkan dua orang juara iaitu Naqiu Boboy dan Hady Mirza.
Jelas pengarah muzik terkenal tanah air itu, penggiat seni dan masyakat perlu melihat perkara tersebut sebagai satu perkembangan positif dalam industri muzik.
BACA: 'Saya buat keputusan juara adalah dua' - Ramli MS
“Muzik perlukan perubahan, kreativiti perlukan perubahan.
“Ia tidak ada (peraturan yang menetapkan hanya seorang juara). Astro ada tanya saya, tidak bolehkah pilih nombor satu?
“Saya kata, kedua-dua mereka (Naqiu dan Hady) bagus. Kalau tengok markah ketiga-tiga juri, dan apabila dicampur semuanya sama.
“Saya memang kena buat keputusan dan dalam jangka masa tiga minit, saya tidak boleh memihak kepada Naqiu mahupun Hady.
"Saya mengatakan (kepada Astro) bahawa mereka layak bergelar juara, dan mereka okay,” katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas sidang media, di sini pada Ahad malam.
BACA: Pertama kali terjadi, Naqiu dan Hady Mirza diumum juara bersama GV6!
Ditanya sama ada sudah tiba masanya industri hiburan perlu bersedia dengan keputusan sedemikian pada masa hadapan, Ramli berkata: “Ia terpulang kepada mereka.”
“Tetapi kita faham satu benda, kalau kedua-dua bagus, kenapa tidak berikan kepada mereka (juara)?
“Apa salahnya? Adakah kamu mahu melihat seorang itu terduduk, (dan) ketawakan nombor dua? Kedua-dua bagus dan mereka sanggup menambah RM50,000 lagi (hadiah wang tunai kepada juara),” jelasnya.
Susulan itu, Ramli yang mesra dengan panggilan Tok Ram mengulangi pendirian bahawa Naqiu dan Hady mempunyai kekuatan yang sama sehingga melayakkan kedua-dua penyanyi itu berkongsi tempat pertama.
Beliau berkata, ia adalah keputusan yang adil dan muktamad, selain dipersetujui oleh barisan juri yang dipertanggungjawabkan pada konsert final tersebut.
“Pada saya ini adalah satu keputusan yang adil.
“Beginilah, katakan kedua-dua dapat markah yang sama dan mereka (Astro) suruh saya pilih. Saya dengan setulus hati tidak akan berpihak kepada Hady ataupun Naqiu.
“Sebagai ketua juri, saya kena bersikap adil,” katanya.
Sebelum itu, Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad dalam sidang media memaklumkan bahawa tempat kedua tidak akan diisi oleh mana-mana pemenang.
Malah, beliau turut menafikan bahawa keputusan untuk menobatkan dua orang juara telah dirancang terlebih awal oleh pihak produksi.
“Memang nampak ada dua trofi tetapi satu trofi itu untuk kita mock shoot VT hadiah, manakala satu trofi adalah trofi juara.
"Kita terkejut dengan keputusan juri dan mereka dah berikan alasan, kita setuju dan berlaku adil kepada kedua-dua juara,” jelasnya.
Pada konsert akhir GV6, Naqiu dan Hady mengumpul markah yang sama iaitu sebanyak 87 peratus selepas diadili oleh dua juri tetap, Ramli dan Hetty Koes Endang serta juri jemputan, Datuk Rizalman.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah industri muzik tanah air yang menyaksikan dua peserta dinobatkan sebagai juara.
#Astro Awani #Datuk Ramli MS #Gegar Vaganza #Gegar Vaganza musim keenam GV6 #hiburan #konsert #Naqiu Boboy dan Hady Mirza juara GV6
;