Pertemuan bersama Hail di HKL detik terakhir - Salwa
Bernama
Mei 7, 2024 08:00 MYT
Mei 7, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi popular 80-an, Datin Salwa Abdul Rahman tidak menyangka pertemuan bersama arwah Datuk Abdul Hail Amir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tengah hari semalam menjadi detik terakhir pertemuan mereka.
Ketika dihubungi Bernama, Salwa berkata walaupun hadir pada bukan waktu melawat, beliau bersyukur urusan untuk melawat Allahyarham Hail, 76, atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir telah dipermudah.
"Kakwa (Salwa) sempat ziarah (Allahyarham) 12.30 tengah hari tadi, dapat jumpa arwah dan ketika itu memang nampak penafasan arwah (tidak normal) serta berada (dalam keadaan) tidak sedar. Kakwa (syukur) sempat jumpa arwah, Allah permudah pertemuan kami," katanya dalam nada sebak.
Difahamkan Allahyarham mempunyai masalah jantung.
Pelantun lagu 'Satu Dua Kau' itu juga menyifatkan Allahyarham seorang yang sangat baik, disenangi ramai, mudah bekerja serta berbudi bahasa.
"Arwah sangat baik dan gentle, dia seorang abang yang sangat menjaga personaliti dan pemakaiannya serta sentiasa bergaya. Kakwa bersyukur hajat arwah mahu datang ke rumah baharu Kakwa (awal tahun ini) tercapai.
"Kami kerap ditemukan semasa buat persembahan pentas, Kakwa pasti akan rindu berduet dengan arwah...Trademark bagi program 'Mekar Sejambak', angkat tangan selepas membuat persembahan yang sering dibuat arwah, akan dikenang sampai bila-bila," katanya yang merupakan junior kepada Hail dalam program terbitan RTM yang diterbitkan pada 1985 hingga 1988.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (Pemekar) Mohd Amran Nasrudin menyifatkan Allahyarham sebagai seorang anak seni yang sejati kerana sentiasa bersemangat untuk melakukan apa jua persembahan walaupun dalam keadaan kurang sihat.
"Allahyarham juga seorang yang merendah diri dan tidak berkira daripada segi kewangan sekiranya diminta untuk memenuhi apa-apa acara persembahan," katanya.
Beliau berkata Pemekar turut menghargai Allahyarham dengan memberi Watikah Pengiktirafan Beringin Emas yang ditandatangani Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kepada artis veteran yang masih aktif dan mendapat pencapaian terbaik dalam kerjaya seni, pada hujung tahun lepas.
Hail yang meninggal dunia pada 3.43 petang tadi dijangka dikebumikan pagi ini di Tanah Perkuburan Ukay Perdana dekat sini.
Hail memulakan kerjaya sebagai penari kebudayaan di Badan Budaya di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada awal 70-an dan sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, beliau terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.
Lagu popular mereka seperti 'Hujan', 'Menunggu Nasi Minyak', 'Antara Matamu dan Mataku' termasuk lagu 'Seloka Hari Raya' menjadi siulan ramai.
Selain menyanyi, anak jati Pulau Pinang itu juga terkenal di layar perak dan antara filem popular lakonannya ialah 'Jiwa Remaja', 'Cinta Dan Lagu', 'Menanti Hari Esok', 'Sesejuk Air Mata Ibu' dan 'Anita Dunia Ajaib'.
Selepas lebih lima dekad terbabit dalam dunia seni, Hail dikurnia gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022.
-- BERNAMA