Pertama kali bintangi filem, Ayda Jebat mengaku gementar

Gempak
November 25, 2017 12:55 MYT
Ayda Jebat mengaku dirinya berasa gementar ketika memainkan watak Laila Safitri dalam filem arahan Osman Ali, Pinjamkan Hatiku.
PENYANYI dan pelakon Ayda Jebat mengaku dirinya berasa gementar ketika memainkan watak Laila Safitri dalam filem arahan Osman Ali, Pinjamkan Hatiku.
Filem terbitan Aurawhite Global Sdn Bhd itu merupakan penampilan sulung Ayda memegang watak utama di layar perak.
"Saya akui perasaan gemuruh dan gementar itu ada. Lakonan dalam filem berbeza dengan drama bersiri atau telefilem. Saya harus memberikan hasil kerja terbaik demi peminat.
"Watak Laila Safitri agak mencabar untuk saya bawakan. Laila menunjukkan permainan emosi dari awal hingga penghujung cerita. Alhamdulillah, berkat bantuan pengarah, pelakon dan krew produksi, semuanya berjalan lancar," kata Ayda.
Tambah penyanyi lagu "Mata" ini, dia juga berterima kasih kepada aktres otai, Fauziah Ahmad Daud atau Kak Ogy yang bertindak sebagai guru lakonan.
"Saya banyak belajar dari Kak Ogy. Dia memberikan saya penjelasan mengenai watak Laila dengan lebih mendalam.
"Kedudukan Kak Ogy sebagai pelakon berpengalaman memang banyak mengajar saya. Kelas lakonan selama dua minggu memang sangat bernilai dan saya amat menghargainya," katanya lagi.
Selain Ayda, filem Pinjamkan Hatiku turut dijayakan oleh Shaheizy Sam, Farid Kamil, Lia Natalia dan ramai lagi.
Filem ini bakal menemui penonton bermula 30 November ini di pawagam seluruh negara.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Ayda Jebat
#Aurawhite Global #Ayda Jebat #Fauziah Ahmad Daud #Instagram #Kak Ogy #Laila Safitri #Osman Ali #Pinjamkan Hatiku
;